Home Buletin Semasa DUA BERADIK KEHILANGAN TIGA AHLI KELUARGA, JKM PAHANG HULUR BANTUAN RM2,000

DUA BERADIK KEHILANGAN TIGA AHLI KELUARGA, JKM PAHANG HULUR BANTUAN RM2,000

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

ROMPIN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyalurkan bantuan RM2,000 menerusi Tabung Malapetaka Daerah bagi meringankan beban waris yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi kebakaran di Desa Mawar Dua, Muadzam Shah, di sini, kelmarin.

Bantuan itu disampaikan Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad menerusi Program Ziarah Kasih ketika menziarahi waris mangsa bagi mendapatkan gambaran mengenai keperluan serta keadaan keluarga berkenaan selepas kehilangan tempat bergantung.

Khairul Amri berkata, menjadi tanggungjawab JKM untuk membantu serta mendengar permasalahan yang dihadapi keluarga mangsa, terutama dalam tempoh sukar selepas tragedi berkenaan.

“JKM akan terus memantau perkembangan keluarga terbabit selain menyediakan sokongan termasuk perlindungan dan psikososial sekiranya diperlukan.

“Kita tidak ingin melihat mereka yang kehilangan tempat bergantung berada dalam keadaan tertekan hingga menimbulkan tekanan dan kehidupan yang tidak tenteram,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd Kahurolaizam Mokhtar dan Siti Zaleha Aluha serta anak mereka, Muhamad Putra Rayqal, terkorban selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran.

Mohd Kahurolaizam dilaporkan melecur sebelum meninggal dunia di hadapan rumah, manakala isteri dan anaknya ditemui rentung di dalam sebuah bilik.

Dua lagi anak lelaki pasangan terbabit yang berusia 10 dan 16 tahun bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.

Kebakaran turut memusnahkan sebuah motosikal dan kereta milik keluarga berkenaan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here