Home Luar Negara 2 LAGI JURUTERBANG AIR INDIA GAGAL UJIAN SARINGAN DADAH

2 LAGI JURUTERBANG AIR INDIA GAGAL UJIAN SARINGAN DADAH

NEW DELHI: Dua lagi juruterbang Air India gagal melepasi ujian dadah awal yang diwajibkan syarikat penerbangan itu, susulan kejadian gelora udara ketika penerbangan Phuket-New Delhi yang menyebabkan kecederaan, menurut beberapa laporan media tempatan pada Isnin.

Memetik Xinhua, kedua-dua juruterbang itu dilaporkan sudah dikeluarkan daripada jadual penerbangan.

Menurut laporan berita televisyen tempatan, kedua-dua juruterbang berkenaan gagal dalam saringan dadah awal dengan ujian pengesahan kini dijalankan bagi menentukan sama ada keputusan terbabit disebabkan bahan psikoaktif atau ubat yang mungkin diambil.

“Kedua-dua juruterbang itu dikeluarkan daripada jadual penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga dan akan kekal tidak menjalankan tugas penerbangan sehingga keputusan ujian akhir diterima,” kata laporan berkenaan.

Menurut saluran berita itu, kira-kira 400 juruterbang Air India sudah menjalani ujian itu setakat ini sebagai sebahagian daripada pemeriksaan wajib yang dilancarkan syarikat penerbangan milik Tata itu. 

Syarikat penerbangan berkenaan mengarahkan semua juruterbangnya menjalani ujian dadah itu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) baharu. 

Arahan itu dibuat selepas juruterbang yang mengetuai penerbangan Phuket-New Delhi gagal dalam dua ujian air kencing yang diarahkan untuk dijalaninya ketika penerbangan itu mendarat dengan marijuana dikesan dalam sistem badannya.

Pada 4 Ogos lalu, 24 individu di dalam penerbangan Air India dari Phuket, Thailand ke New Delhi cedera selepas pesawat berdepan gelora udara.

Pesawat itu kehilangan kira-kira 300 kaki ketinggian (kira-kira 91 meter), mencetuskan detik cemas di udara dalam kalangan penumpang. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here