Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket dikenali sebagai “Geng Saga” yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah cermin kenderaan dan curi di sekitar Kota Bharu serta Pasir Mas menerusi penahanan tiga lelaki tempatan dalam satu serbuan pada jam 2.00 pagi, 30 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu susulan siasatan terhadap satu kes pecah cermin kereta dan curi yang berlaku di tepi jalan berhampiran sebuah kedai makan di Tunjong pada 30 Mei lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 malam itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM250 selepas cermin kenderaannya dipecahkan.
“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menjalankan serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus, Kota Bharu pada jam 2 pagi hari yang sama.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 56 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua buah kereta Proton Saga, sebuah komputer riba jenama Asus, empat telefon bimbit, dua beg galas, 10 kad bank, dua pasport antarabangsa dan sekeping MyKid.
Katanya turut dirampas ialah sebuah lastik getah, dua serpihan palam pencucuh dan sebatang playar.
“Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau serta 32 rekod berkaitan dadah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek selama tiga hari bermula 8 Jun hingga 10 Jun bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, hasil tangkapan tersebut juga berjaya menyelesaikan 10 kes pecah cermin kenderaan yang dilaporkan berlaku di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas membabitkan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM23,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan,”katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan.
IMedikel TV






