Home Buletin Semasa KELANTAN TERUS JADI MODEL PERPADUAN, BUDAYA HORMAT ASAS KEHARMONIAN KAUM

KELANTAN TERUS JADI MODEL PERPADUAN, BUDAYA HORMAT ASAS KEHARMONIAN KAUM

40
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Budaya saling hormat-menghormati, toleransi dan penerimaan antara kaum menjadi faktor utama yang menjadikan Kelantan kekal sebagai model perpaduan dalam negara.

Timbalan Pengarah Perpaduan Negeri Kelantan, Mohd Anuari Mohd Yusof berkata, keharmonian yang dinikmati rakyat negeri ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina melalui interaksi sosial yang berterusan, sikap saling menghormati serta kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat setempat.

Menurutnya, kepelbagaian kaum yang wujud di Kelantan termasuk Melayu, Cina dan Siam tidak pernah menjadi penghalang kepada perpaduan, malah menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat.

“Hari ini kita dapat melihat masyarakat daripada pelbagai kaum berkumpul dalam suasana harmoni. Orang Melayu boleh hadir ke kawasan komuniti Siam dan bergaul tanpa sebarang masalah. Ini menunjukkan perpaduan sudah wujud dalam masyarakat kita.

“Cuma cabaran sekarang adalah bagaimana untuk memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada supaya terus kekal utuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sesi Dialog “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama: Perpaduan Nadi Keselamatan, di Wat Machimmaram, di sini, baru-baru ini.

Katanya antara faktor yang menyumbang kepada keharmonian itu ialah budaya hormat-menghormati yang telah lama diamalkan masyarakat Kelantan.

“Nilai tersebut membolehkan rakyat pelbagai kaum meraikan perayaan masing-masing dalam suasana penuh toleransi tanpa menimbulkan sebarang konflik.

“Apabila wujud budaya saling menghormati, kita boleh hidup bersama dan meraikan kepelbagaian yang ada. Inilah kekuatan perpaduan yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sentiasa memainkan peranan memperkukuhkan hubungan antara kaum melalui pelbagai program kemasyarakatan dan penglibatan komuniti di peringkat akar umbi.

Menurutnya, institusi seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), agensi keselamatan, institusi pendidikan serta pemimpin tempatan turut memainkan peranan penting dalam memastikan perpaduan terus diperkasakan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penghormatan terhadap rumah ibadat dan sensitiviti agama adalah antara elemen penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.

“Sikap memahami dan menghormati adat serta pantang larang sesuatu komuniti mampu mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Perpaduan perlu dipelihara kerana kita tidak mahu peristiwa yang boleh menggugat keharmonian masyarakat berulang kembali. Sebab itu usaha memperkukuhkan hubungan antara kaum perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Mohd Anuari turut menekankan kepentingan membina ketahanan sosial dalam kalangan masyarakat bagi menghadapi sebarang ancaman yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

Beliau berkata, perpaduan yang kukuh bukan sahaja menjamin kestabilan sosial dan keselamatan komuniti, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi serta pembangunan negara secara menyeluruh.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here