TOKYO: Strok haba meragut enam nyawa di Tokyo, ketika Jepun dilanda gelombang panas musim hujan yang jarang berlaku, menyebabkan pihak berkuasa berulang kali mengeluarkan amaran kesihatan.
Hujung minggu lalu, wilayah tengah Shizuoka merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius, melebihi suhu 35 darjah Celsius yang diklasifikasikan pegawai cuaca sebagai ‘sangat panas’.
Pegawai agensi cuaca berkata, cuaca panas ketika musim hujan di Jepun ‘agak jarang’ berlaku disebabkan sebahagiannya dipengaruhi sistem tekanan tinggi Pasifik Selatan yang kuat.
Suhu juga mencecah paras tertinggi hampir 40 darjah Celsius pada Isnin di pos pemerhatian di Tokyo dan di wilayah selatan Wakayama, menurut media tempatan.
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran strok haba di kebanyakan negeri, menggesa penduduk mengelak daripada bersenam di luar dan menggunakan pendingin hawa.
Arahan dikeluarkan susulan Tokyo mencatatkan enam kematian yang dikaitkan dengan strok haba pada Sabtu dan Isnin apabila suhu mencapai sekitar 35 darjah Celsius pada tengah hari, menurut pejabat pemeriksaan perubatan bandar itu.
Strok haba disifatkan memberi kesan buruk di Jepun yang juga negara kedua mempunyai paling ramai penduduk tertua di dunia selepas Monaco.
Penduduk usia 75 tahun antara yang diletakkan dalam demografi oleh pakar kesihatan sebagai sangat terdedah kepada strok haba, selain bayi dan mereka yang tinggal bersendirian atau terlalu miskin untuk membeli pendingin hawa.
Persatuan Perubatan Akut Jepun turut memberi amaran mengenai peningkatan jumlah kematian akibat strok haba di seluruh negara, yang meningkat daripada hanya beberapa ratus setahun sejak dua dekad lalu kepada sekitar 1,500 pada 2022.
Menurut persatuan itu, jumlah kematian yang banyak menunjukkan bahawa strok haba kini menimbulkan bahaya setanding ‘bencana alam yang besar’.
Seorang eksekutif perniagaan Tokyo, Mikio Nakahara, 67, berkata perbezaan antara Tokyo 50 tahun lalu dan sekarang sangat ketara.
“Tokyo tidak sepanas sekarang, tetapi hari ini, saya cuba bekerja dari rumah sebanyak mungkin supaya tidak perlu keluar,” katanya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






