Home Sukan GALLIFUOCO JELASKAN PROSES NATURALISASI BERSAMA MALAYSIA

GALLIFUOCO JELASKAN PROSES NATURALISASI BERSAMA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Impian Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih dalam proses apabila pemain pertahanan itu memaklumkan beberapa kelulusan perlu diperoleh sebelum langkah seterusnya bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dapat diteruskan.

Memetik laporan Harian Metro, pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) itu berkata, peguamnya kini sedang berhubung dengan pihak kelab yang mengambil tindakan sewajarnya bagi menggerakkan proses naturalisasi berkenaan.

“Peguam saya sedang berhubung dengan KL City FC, yang kini mengambil langkah diperlukan untuk bergerak ke hadapan. Saya percaya kami sedang menunggu beberapa kelulusan daripada FAM dan selepas semuanya selesai, kami berharap dapat meneruskan langkah seterusnya untuk proses naturalisasi,” katanya.

Perkembangan itu menunjukkan proses untuk Gallifuoco menjadi pemain yang layak mewakili Malaysia masih memerlukan beberapa peringkat sebelum dapat direalisasikan.

Pemain kelahiran Australia itu sebelum ini pernah mewakili skuad muda Australia, namun penglibatan di peringkat remaja tidak menghalangnya daripada menukar pertalian persatuan untuk mewakili negara lain, tertakluk kepada peraturan FIFA.

Situasi berbeza membabitkan Shane Lowry yang pernah mewakili Ireland pada saingan kelayakan Kejohanan Eropah B-17 selain berada di bangku simpanan skuad senior Australia. Untuk menyarung jersi Socceroos, pertahanan itu perlu melalui proses pertukaran pertalian daripada Persatuan Bolasepak Ireland kepada Australia.

Gallifuoco bagaimanapun masih mempunyai ruang untuk mengubah pertalian persatuannya berdasarkan penglibatan beliau bersama Australia yang hanya di peringkat skuad muda, sekali gus membuka peluang untuk meneruskan usaha mendapatkan kelayakan mewakili Harimau Malaya.

Sekiranya proses naturalisasi dan kelayakan berkenaan berjaya diselesaikan, kehadiran Gallifuoco mampu menjadi satu lagi pilihan buat barisan pertahanan negara, namun buat masa ini pemain berusia 32 tahun itu masih perlu menunggu beberapa kelulusan sebelum impian tersebut menjadi kenyataan. – Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here