Home Hiburan FINAS SAHKAN FILEM ‘KONSPIRASI’ DIHENTIKAN AWAL ATAS PERMINTAAN PENERBIT

FINAS SAHKAN FILEM ‘KONSPIRASI’ DIHENTIKAN AWAL ATAS PERMINTAAN PENERBIT

29
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan penamatan tayangan filem “Konspirasi” di seluruh pawagam Malaysia bermula Khamis lalu dibuat atas permintaan penerbit filem berkenaan dan bukan hasil arahan mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan semalam, FINAS memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penamatan tayangan filem itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar yang berurusan dengan pihak pawagam.

Menurut FINAS, berdasarkan emel yang dikongsikan kepada agensi itu, penerbit filem berkenaan, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., telah meminta supaya tayangan “Konspirasi” dihentikan bermula 28 Mei.

“Hasil semakan bersama pihak pengedar dan pemamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

FINAS turut menjelaskan bahawa filem “Konspirasi” telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.

Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei lalu di 120 skrin pawagam di seluruh negara.

Sehubungan itu, FINAS memaklumkan pihaknya telah menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan menamatkan tayangan filem tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi walaupun beberapa usaha telah dilakukan.

FINAS berkata, pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here