Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
ALOR SETAR: Sebuah bas ekspres yang dijadualkan berlepas ke Shah Alam ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan tayar yang tidak selamat untuk perjalanan.
JPJ Kedah dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan di Terminal Bas Shahab Perdana di sini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati dinding tayar bas berkenaan mengalami keretakan dan pecah selain keadaan permukaan tayar yang sudah haus, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Susulan penemuan tersebut, pihak penguat kuasa mengarahkan semua penumpang dipindahkan ke bas lain bagi memastikan perjalanan mereka dapat diteruskan dengan selamat,”menurut kenyataan itu.
JPJ Kedah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan.
“JPJ Kedah menegaskan tiada kompromi terhadap aspek keselamatan terutama membabitkan pengangkutan awam, dan pemeriksaan ketat ke atas bas ekspres akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,”tegas kenyataan itu.
IMedikel TV






