Home Buletin Semasa MBAS KELUAR DUA KOMPAUN, NOTIS 7 HARI SELEPAS HOTEL KOTOR TULAR

MBAS KELUAR DUA KOMPAUN, NOTIS 7 HARI SELEPAS HOTEL KOTOR TULAR

38
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bertindak segera mengeluarkan dua kompaun dan satu notis terhadap sebuah hotel di bandar ini selepas tular video di media sosial yang memaparkan ketidakpuasan hati seorang pengunjung mengenai tahap kebersihan premis berkenaan baru-baru ini.

MBAS dalam kenyataan menerusi laman rasminya memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas beberapa bilik termasuk bilik yang menjadi subjek aduan dan mendapati tahap kebersihan hotel berkenaan secara keseluruhannya adalah tidak memuaskan serta memerlukan tindakan penambahbaikan segera.

“Susulan itu, satu kompaun dikeluarkan terhadap pihak hotel atas kesalahan gagal menyelenggara premis dengan baik mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Hotel (MBAS) 2010 berkaitan kebersihan premis.

“Selain itu, satu lagi kompaun dikenakan di bawah Undang-Undang Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983 selepas pemeriksaan mendapati perangkap minyak di bahagian dapur telah rosak sehingga menyebabkan kekotoran sisa makanan,”jelas kenyataan itu.

MBAS turut mengeluarkan satu notis di bawah UUK Hotel (MBAS) 2010 yang memberikan tempoh tujuh hari kepada pihak hotel untuk melaksanakan kerja-kerja pembetulan dan penambahbaikan.

Menurut MBAS, pihak pengurusan hotel berkenaan telah mengakui kelemahan yang berlaku, menerima teguran yang diberikan dan menyatakan komitmen untuk melaksanakan tindakan pembersihan serta penambahbaikan dengan kadar segera.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan standard kebersihan premis penginapan, MBAS memaklumkan satu pemeriksaan susulan akan dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam masa terdekat,”menurut kenyataan itu.

MBAS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara demi menjaga imej bandar raya dan keselesaan pengunjung. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here