Home Luar Negara FILIPINA KELUAR DARI SENARAI PENGUBAHAN WANG HARAM GLOBAL

FILIPINA KELUAR DARI SENARAI PENGUBAHAN WANG HARAM GLOBAL

306
0

MANILA: Filipina menyambut baik penyingkirannya daripada senarai badan pemantau kewangan global, dengan menyatakan bahawa langkah itu akan memudahkan urusan transaksi rentas sempadan dan menarik lebih banyak pelaburan.

Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah badan antara kerajaan yang memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, mengeluarkan Filipina daripada senarai pemantauan intensifnya, semalam, selepas hampir empat tahun berada dalam senarai itu.

Filipina dimasukkan ke dalam senarai kelabu pada Jun 2021 berikutan beberapa kebimbangan, termasuk risiko pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan operasi kasino, kegagalan mengawal selia pengendali pemindahan wang tanpa lesen, serta kekurangan tindakan pendakwaan dalam kes pembiayaan keganasan.

“FATF menggalakkan Filipina untuk terus memastikan langkah-langkah CFT (memerangi pembiayaan keganasan) dilaksanakan dengan sewajarnya,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Majlis Anti-Pengubahan Wang Haram Filipina menyatakan bahawa penyingkiran dari senarai itu akan mengurangkan keperluan pematuhan bagi pemindahan wang antarabangsa, menarik lebih banyak pelaburan, serta membantu pekerja Filipina di luar negara dalam penghantaran wang melalui bank.

“Ia dijangka mempercepatkan transaksi rentas sempadan dengan kos lebih rendah, mengurangkan halangan pematuhan dan meningkatkan ketelusan kewangan.

“Penyingkiran ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan sistem kewangan Filipina dan mengekalkan keyakinan global,” katanya.

Sebuah negara yang tersenarai dalam senarai kelabu FATF akan berada di bawah pemantauan ketat sehingga ia berjaya memperbaiki kelemahan dalam sistem kewangannya.

Pada Oktober lalu, FATF menyatakan bahawa Filipina hampir menyelesaikan sepenuhnya pelan tindakannya.

Filipina pernah disenaraikan dalam senarai FATF pada tahun 2000 kerana gagal menangani isu pengubahan wang haram.

Negara itu kemudian dikeluarkan lima tahun kemudian selepas meminda undang-undang perbankannya. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here