Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Usia baru 30-an tetapi rambut sudah beruban. Ramai yang mengalami masalah ini ketika usia muda.
Meskipun rambut beruban itu biasa, namun apabila berlaku pada usia muda ia boleh mendatangkan rasa bimbang apabila berdepan dengan orang ramai terutama bagi golongan lelaki kerana dianggap sebagai tanda penuaan.
Apakah puncanya? Rata-rata orang ramai tidak tahu sebenarnya masalah rambut beruban lebih awal adalah kerana faktor genetik.
Biasanya jika ibu bapa mahupun nenek atau keturunanya sejenis yang tumbuh uban pada usia muda, ia mungkin cenderung diwarisi kerana faktor genetik sangat susah untuk dielakkan dan tidak dapat diubah.
Menurut portal Berita Harian, pengurangan penghasilan melanin dalam folikel rambut juga menjadi penyebab utama rambut berubah warna menjadi kelabu atau putih.
Melanin adalah pigmen yang memberi warna kepada rambut, kulit, dan mata.
Melanin mempunyai dua jenis iaitu eumelanin dan phenomelanin. Rambut akan kelihatan lebih gelap jika jumlah eumelanin lebih tinggi berbanding phenomelanin.
Apabila tubuh menghasilkan melanin dalam jumlah yang semakin berkurang seiring dengan peningkatan usia, rambut akan kehilangan warnanya dan menjadi uban.
Selain itu, tekanan berpanjangan juga merupakan salah satu punca rambut beruban tumbuh lebih awal.
Oleh itu, penting bagi seseorang untuk mengawal tekanan dan merubah gaya hidup sihat bagi mengekalkan kesihatan rambut.
Memetik laporan journal Development menerusi portal hellodoctor, kekurangan vitamin B12 boleh mempengaruhi kadar pigmentasi rambut.
Justeru, orang ramai perlu mengamalkan pemakanan yang mengandungi vitamin B12 yang tinggi seperti daging, ikan sardin, ikan tuna, dan salmon.
Bagi mereka yang merokok, pengambilan ubat-ubatan seperti kemoterapi atau antimalaria juga boleh menyebabkan pertumbuhan uban.
Oleh itu, orang ramai disarankan untuk memahami punca atau faktor rambut beruban pada usia muda bagi mengelakkan ianya berlaku.
Selagi boleh elak, ia perlu diatasi dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengatasi tekanan untuk menjaga warna rambut yang sihat bagi tempoh lebih lama.
IMedikel TV






