Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan bahawa kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu diberikan perlindungan, bimbingan serta pemulihan, bukannya hanya dikenakan hukuman.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai kanak-kanak mereka wajar diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
“Pendekatan ini perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak dari segi emosi, kognitif dan sosial. Ia dapat membantu mereka menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, fokus utama KPWKM adalah memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan kanak-kanak terlibat.
Beliau menjelaskan, perundangan dan program sedia ada sudah menekankan intervensi, perlindungan serta proses pemulihan untuk kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang.
“Langkah itu dilaksanakan melalui pendekatan berperingkat sama ada dalam komuniti atau menerusi institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan pusat pemulihan lain,”katanya.
Dalam masa sama, KPWKM menegaskan bahawa orang dewasa memikul tanggungjawab utama melindungi kanak-kanak dan tidak boleh mengeksploitasi mereka dalam apa jua bentuk.
“Sekiranya wujud elemen penderaan atau eksploitasi, kerajaan akan memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas terhadap pelaku,”katanya.
KPWKM turut mengingatkan bahawa pandangan tanpa asas kukuh mengenai isu ini boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Justeru, kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi kanak-kanak.
“Isu ini tidak boleh ditangani hanya melalui peruntukan undang-undang, tetapi memerlukan kesedaran tinggi, pengukuhan institusi keluarga serta pembinaan sahsiah dan jati diri masyarakat dengan sokongan komuniti.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua. Jalan ke hadapan bukan melalui hukuman, tetapi melalui penjagaan, bimbingan dan perlindungan,”katanya.
IMedikel TV






