KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzanie Jasny bimbang pada usia 27 tahun dirinya masih belum berpunya, jauh sekali merancang mendirikan rumah tangga.
Memetik laporan Berita Harian, Ezzanie atau nama penuh, Nur Ezzanie Sherazade Jasny berkata, biarpun hidup tenang, ada kalanya, emosi tersentuh apabila melihat pasangan bahagia.
“Pada usia 27 tahun, saya masih belum ada pasangan dan tidak tahu masa depan,
“Kebanyakan hari, saya rasa baik dan jalani hidup ikut rentak sendiri. Tetapi, ada masanya, perkara kecil pun boleh buatkan saya emosi,” luahnya di platform Threads.
Ezzanie yang membintangi drama bersiri Seindah Hujan mengakui masih menyimpan keinginan untuk mencintai dan dicintai. selain mahu membina sesuatu yang bermakna bersama seseorang.
Namun, Ezzanie mengakui belum pasti sama ada kebahagiaan itu akan menjadi sebahagian daripada takdir hidupnya atau tidak.
“Tengok pasangan lain bahagia dan membina kehidupan bersama membuatkan saya tersentuh. Itu perkara yang selalu saya impikan.
“Jauh di sudut hati, saya masih ingin untuk mencintai dan dicintai serta memiliki sesuatu yang benar-benar bermakna. Cuma saya tidak pasti sama ada ia ditakdirkan untuk saya,” katanya.
Tambah Ezzanie, dia pernah merancang mendirikan rumah tangga pada awal usia 20-an bersama bekas kekasih, namun, perancangan itu tidak kesampaian.
Selepas itu, dia menetapkan sasaran untuk berkahwin pada usia 25 tahun, namun, sehingga kini masih belum menjadi kenyataan apabila dia kini mencecah 27 tahun.-BH Online-
IMedikel TV






