Home Buletin Semasa JURUKIMPAL DIPENJARA 33 TAHUN, 32 SEBATAN, MENGAKU BERSALAH ROGOL DAN CEDERAKAN ANAK...

JURUKIMPAL DIPENJARA 33 TAHUN, 32 SEBATAN, MENGAKU BERSALAH ROGOL DAN CEDERAKAN ANAK TIRI

86
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Seorang jurukimpal dihukum penjara 33 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tujuh tuduhan merogol dan mencederakan anak tirinya.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa tampil membuat laporan polis selepas anaknya dipukul oleh suaminya.

Mangsa kemudian memberitahu pihak polis punca dia dipukul kerana menceritakan kepada rakannya bahawa dia dirogol oleh bapa tirinya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun empat bulan ketika itu pada Jun 2022 dan 13 April 2023, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa sama ketika mangsa berusia antara 17 hingga 18 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi serupa antara jam 11 malam hingga 3 petang pada Mei 2025 hingga 23 April lalu.

Kesalahan dikemukakan di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama di lokasi sama pada jam 11 malam, 25 April lalu.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun bermula 29 April lalu dan 32 sebatan untuk kesemua pertuduhan.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, selain berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here