Home Hiburan ERNIE TERHARU DIPILIH NYANYI LAGU KEMPEN TMM 2026

ERNIE TERHARU DIPILIH NYANYI LAGU KEMPEN TMM 2026

KUALA LUMPUR: Ernie Zakri menyifatkan pemilihan dirinya sebagai penyanyi lagu tema kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 berjudul Surreal Experiences oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai pencapaian terbesar dalam kerjaya.

Terharu dengan peluang diberi, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, teringat soal jatuh bangun dalam perjalanan sebagai penyanyi sebelum berada pada kedudukan sekarang dengan tawaran kerajaan itu.

“Tawaran datang dua bulan lalu. Sudah tentu saya tidak akan lepaskan kerana saya melihat ia peluang besar dan permulaan yang baik untuk kerjaya pada tahun ini.

“Perkara ini juga mengingatkan kembali detik sukar yang terpaksa dilalui sebelum dikenali dan muzik saya diterima ramai. Rasa sangat bertuah apabila saya menjadi antara penyanyi yang dipertimbangkan lalu dipilih.

“Saya sangat bangga apabila terbabit dalam projek ini. Tidak hendak tunggu projek seterusnya, iaitu penggambaran video muzik dan mempromosikan lagu ini di luar negara,” katanya kepada BH Online.

Lagu kempen TMM 2026 berjudul Surreal Experiences ciptaan sepenuhnya, Anuar Razak.

Mengulas tanggungjawab sebagai duta kecil dalam mempromosikan TMM 2026, penyanyi lagu Masing-Masing itu menganggap gelaran itu cukup besar buat dirinya.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir soal jadi duta kecil apabila terpilih menyanyikan lagu kempen TMM 2026.

“Sebaliknya, saya melihat ia sebagai amanah yang perlu digalas sebaik mungkin dan objektifnya tercapai.

“Lagu ini cukup indah dan melodinya turut diselitkan lagu lama, iaitu kenek-kenek udang sebab semua orang tahu lagu itu. Saya menyanyikannya dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Kempen TMM 2026 yang dilapor menyasar kemasukan lebih 35.6 juta pelancong asing dengan pendapatan lebih RM147.1 bilion, dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Selain lagu tema, logo kempen, maskot dan livery pesawat turut dilancarkan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here