Home Hiburan EJEN ALI ‘LEVEL DUNIA’

EJEN ALI ‘LEVEL DUNIA’

597
0

Filem sekuel Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) bakal tampil dengan peningkatan ketara dalam aspek visual dan teknikal, menandakan lonjakan besar dalam dunia animasi tempatan ke arah kualiti antarabangsa.

Memetik laporan Harian Metro, perkara ini dapat dilihat menerusi video pendedahan terbaharu Kapsul Eksklusif Di Sebalik Tabir EATM2 terbitan Majalah 3 yang memperlihatkan sejauh mana usaha dicurahkan pasukan produksi WAU Animation dalam menghasilkan sekuel yang bukan saja menarik dari segi jalan cerita, malah membawa impak lebih tinggi dari segi visual.

Primeworks Studios (PWS) dalam kenyataan menyebut, antara peningkatan paling ketara dalam EATM2 adalah pada cara tekstur kulit dan rambut dipaparkan. Watak yang lebih berusia seperti Datuk Othman dan Ejen Dayang kini dilihat lebih realistik dengan kedutan wajah lebih halus dan mendalam.

Setiap garis dan tekstur pada kulit, termasuk kesan penuaan pada wajah, direka dengan penuh perhatian.

Langkah berani ini bukan saja mempertingkatkan kesan visual, tetapi memperkukuh penghayatan watak dengan ekspresi emosi yang lebih meyakinkan dan dekat dengan realiti.

Filem kedua ini dikatakan turut memperkenalkan perincian mikro seperti bulu mata dan bulu roma lebih nyata pada rekaan watak yang bertujuan menggambarkan watak dengan lebih hidup.

Berbanding teknik animasi filem pertama lima tahun lalu yang terhad, sekuel ini memanfaatkan teknologi 3D terbaharu seperti sistem render ‘Unreal Engine’ dan kerangka ‘rigging’ dengan lebih dinamik untuk menghasilkan pengalaman menonton yang lebih imersif.

Selain aspek teknikal, pasukan produksi memberikan perhatian mendalam kepada konsistensi visual, terutama melalui pengendalian kontras dan warna dalam setiap babak. Proses ‘color grading’ dilakukan dengan teliti untuk menyampaikan emosi yang tepat, sama ada dalam adegan menyentuh hati, mendebarkan atau menggembirakan.

Setiap elemen visual diselaraskan mengikut konsep yang diolah dalam skrip warna untuk memastikan ‘mood’ diinginkan dalam babak terbabit tercapai.

Dengan gabungan teknologi terkini, perhatian terhadap perincian mikro dan sentuhan sinematik lebih hebat, EATM2 membuktikan bahawa animasi Malaysia mampu bersaing di pentas global.

Filem ini bukan sahaja bersedia meneruskan legasi yang dibina oleh siri dan filem terdahulu, malah sedia mencipta penanda aras baharu dalam dunia animasi tempatan.

Usah sekadar dengar cerita, alami sendiri evolusi epik dunia EATM2 di layar perak mulai 22 Mei ini. Filem animasi penuh aksi ini sesuai untuk semua peringkat umur dan menyajikan pengalaman menonton yang mengujakan. Kepada peminat tegar Ejen Ali, tiket tayangan awal esok dan Rabu ini boleh dibeli sekarang.

EATM2 dibawakan PWS dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions.

Terus membakar semangat anda menjelang tayangan EATM2 dan sahut panggilan misi dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial.

Jangan lepaskan peluang mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial PWS. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here