Home Sukan AZAM ARTETA TAMATKAN KEMARAU TROFI ARSENAL

AZAM ARTETA TAMATKAN KEMARAU TROFI ARSENAL

374
0

LONDON: Mikel Arteta berjanji untuk menamatkan kemarau trofi Arsenal selama lima tahun musim depan selepas kemenangan 1-0 ke atas Newcastle memastikan tempat mereka ke Liga Juara-Juara.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, jaringan menakjubkan Declan Rice pada babak kedua dari penjuru kotak penalti menamatkan catatan lima perlawanan tanpa menang Arsenal dan memastikan mereka berakhir dalam kelompok lima teratas Liga Perdana Inggeris.

Namun ketika Arsenal dijangka menamatkan kempen sebagai naib juara buat musim ketiga berturut-turut, sesetengah pemimpin kelab London utara itu percaya musim ini satu kejayaan.

The Gunners gagal mencabar Liverpool secara serius dalam perebutan kejuaraan dan turut tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan Piala Liga.

Satu-satunya trofi Arteta bersama Arsenal kekal Piala FA 2020 dan kelab itu tidak menang kejuaraan selama 21 tahun.

Namun ketika bercakap kepada penonton di Emirates selepas wisel penamat menentang Newcastle, Arteta berkata: “Kami ada satu impian dan ia sepatutnya ada di sini sekarang atau dalam masa seminggu dan membawa pulang trofi besar kepada anda tetapi kami tidak dapat melakukannya kerana banyak faktor.

“Kami perlu memastikan memburu satu impian tidak kabur dan memastikan kami memburu impian itu dengan semangat dan positif musim depan.

“Kami sudah mula mencipta sejarah kami sendiri di stadium ini. Ada lebih banyak lagi akan datang tetapi ia tidak mudah.

“Kami perlu melakukannya bersama. Biar saya beritahu anda, kumpulan pemain ini mempunyai keinginan, kualiti dan bakat dan kami akan berusaha menjadikan ia satu kenyataan.”

Kapten Arsenal, Martin Odegaard menambah: “Kami boleh berasa amat bangga dengan apa yang kami lakukan musim ini, terutamanya dalam Liga Juara-Juara. Tetapi kami tidak cukup bagus dalam liga.

“Kami perlu menggunakan setiap pengalaman, baik dan buruk untuk bangkit dengan lebih bagus lagi. Semua kekecewaan kerana tidak menang tetapi bangkit dengan lebih kuat serta membawa pulang trofi ke kelab ini.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here