London: Sebuah edisi pertama novel sulung JK Rowling, “Harry Potter and the Philosopher’s Stone” dilelong pada harga £18,000 (US$22,329 atau RM99,152) dalam satu sesi lelongan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Naskhah itu merupakan satu daripada 500 salinan pertama yang dicetak pada 1997, dijual pada Sabtu oleh NLB Auctions yang berpangkalan di Paignton, Devon.
Buku itu mempunyai kesilapan ejaan pada bahagian belakang kulit buku bagi perkataan “Philosopher’s” serta kesilapan dalam senarai peralatan di halaman 53, di mana “1 wand” disenaraikan dua kali.
Walaupun dijangka terjual pada harga antara £20,000 hingga £30,000, buku itu akhirnya dibida pada harga £18,000. Pihak lelongan menggambarkannya sebagai “contoh baik bagi edisi pertama yang amat jarang ditemui” dengan sedikit kesan penggunaan.
Ia juga merupakan satu daripada 300 edisi perpustakaan, berdasarkan cop perpustakaan pada halaman tajuk serta tanda kad slip perpustakaan. -Bernama-Dpa, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






