BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang warga Thailand, atas tuduhan menjalankan pusat panggilan yang memperdayakan mangsa untuk memasang aplikasi utiliti elektrik palsu dan mencuri sehingga 1 juta baht (kira-kira RM131,857) dari akaun-akaun bank mangsa, lapor portal Thaiger.
Suspek, Supharit, 24, yang menerima komisen 10 hingga 20 peratus setiap penipuan, berjumlah lebih 500 juta baht (RM65.93 juta), turut dikaitkan dengan kes seorang mangsa menamatkan nyawa mereka secara tragis, semalam.
Penahanan itu berikutan siasatan rapi polis yang membongkar operasi penipuan yang membabitkan aplikasi utiliti elektrik palsu yang direka untuk mencuri dana dari akaun mangsa.
Supharit, yang ditahan di persimpangan sempadan Ban Klong Luek di daerah Aranyaprathet, wilayah Sa Kaeo, mengakui peranannya dalam penipuan pusat panggilan yang berpangkalan di Poipet.
Dia mengaku menjadi sebahagian daripada skim penipuan itu selama setahun, dengan penipuan terbesar berjumlah 1 juta baht.
Siasatan mendedahkan, dia penipu utama dalam operasi itu, meyakinkan mangsa dengan sikapnya yang bijak dan boleh dipercayai.
Supharit menunjukkan teknik penipuan yang dia gunakan dalam meyakinkan mangsa, tanpa perlu memerlukan skrip.
Polis mendakwanya dengan pelbagai kesalahan termasuk konspirasi penipuan, jenayah berkaitan komputer, akses tanpa kebenaran kepada data komputer yang dilindungi dan penyalahgunaan kad elektronik.
Susulan pengakuannya, Supharit diserahkan kepada penyiasat Biro Siasatan Pusat untuk prosiding undang-undang.
Kes ini menyerlahkan taktik canggih yang digunakan penipuan pusat panggilan untuk mengeksploitasi mangsa, selalunya membawa kepada kerugian kewangan yang dahsyat dan, dalam keadaan teruk, menyebabkan insiden tragis. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






