BARRANQUILLA, Colombia: James Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti untuk kemenangan 2-1 Colombia ke atas Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Kemenangan itu menebus kekecewaan Colombia yang tewas di tangan Argentina pada final Copa America lalu.
Kapten Colombia, Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti minit ke-60 untuk menewaskan juara dunia itu, yang turun tanpa Lionel Messi selepas kaptennya belum pulih daripada kecederaan.
Colombia tewas 1-0 kepada Argentina ketika final Copa America di Miami pada Julai lalu.
Kemenangan di Stadium Metroplitano itu melonjak Colombia ke tangga kedua kumpulan kelayakan Amerika Selatan pada 16 mata daripada lapan perlawanan, dua di belakang pendahulu, Argentina.
Colombia mendahului permainan pada minit ke-25 menerusi Yerson Mosquera yang menanduk masuk hantaran Rodriguez.
Namun tiga minit selepas rehat, Argentina menyamakan kedudukan selepas Nicolas Gonzalez memintas hantaran lemah Rodriguez dan menewaskan penjaga gol Colombia, Camilo Vargas.
12 minit kemudian, tuan rumah kembali di depan selepas Nicolas Otamendi mengasari Daniel Munoz, namun penalti hanya diberikan beberapa minit kemudian apabila pengadil merujuk ulang tayang VAR. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






