ATLANTA, Amerika Syarikat: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique berkata menewaskan Inter Miami yang diperkuat Lionel Messi awal pagi tadi bukanlah semudah yang disangka, meskipun juara Perancis itu meraih kemenangan bergaya 4-0 pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, jaringan awal Joao Neves meletakkan PSG di depan sebelum mereka menambah tiga lagi gol dalam tempoh singkat sebelum rehat, memastikan kelebihan yang sukar digugat.
Messi, bekas bintang PSG dan Barcelona, mempamerkan aksi mengagumkan pada babak kedua ketika Inter Miami cuba bangkit namun gagal menemui jaringan.
“Ia sukar menentang pemain bertaraf dunia seperti mereka, memang sukar, tetapi saya rasa sebagai satu pasukan kami sudah melakukan tugas dengan cemerlang,” kata Enrique kepada wartawan.
“Ada perbezaan jelas antara separuh masa pertama dan kedua… kualiti mereka memang ketara dan saya fikir kami berhak menang.
“Ia sebenarnya lebih sukar daripada apa yang dilihat selepas separuh masa pertama.”
Jurulatih dari Sepanyol itu berkata PSG, yang meraih treble bersejarah musim ini dengan memenangi Liga Juara-Juara, Ligue 1 dan Piala Perancis, kini berada dalam prestasi luar biasa dan berhasrat menjulang kejayaan di Amerika Syarikat.
“Jelas sekali kami sedang mengharungi musim yang bersejarah buat kelab kami dan kami mahu pergi jauh pada kejohanan ini,” tegasnya.
“Kini kami di suku akhir, hanya tinggal lapan pasukan. Sasaran kami adalah mara sejauh mungkin dan bersaing untuk merebut trofi. Tetapi untuk itu, kami perlu melepasi dua lagi pusingan kalah mati.
“Musim ini amat panjang, sama seperti pasukan lain, tetapi motivasi untuk terus bersaing sentiasa ada.”
Pemain sayap PSG, Ousmane Dembele berkata dia gembira dapat bertemu Messi dan bekas rakan sepasukannya di Barcelona – Luis Suarez, Jordi Alba, Sergio Busquets dan Javier Mascherano.
“Leo seorang yang unik, berkongsi padang dengannya memang menakjubkan, saya membesar menonton magisnya di televisyen, jadi ia pengalaman yang luar biasa,” kata pemain pertahanan PSG, Lucas Beraldo.
Jurulatih Inter Miami, Mascherano pula berkata beliau tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya pada kejohanan itu meskipun akhirnya dibelasah PSG.
“Kami mencapai sasaran yang kami tetapkan, kami sedar tahap yang kami mampu bersaing dan hari ini realiti membuktikannya,” kata Mascherano kepada wartawan.
“Saya amat berbangga dengan pemain saya, dengan usaha mereka sepanjang kejohanan, kami cuba mempamerkan apa yang mampu kami lakukan dalam setiap perlawanan. Jurangnya memang ada, tetapi saya tetap berbangga dengan mereka.” – AFP, BH Online –