Home Buletin Semasa BUDI95 TERUS DIPERKASA, KELAYAKAN DIPERLUAS KEPADA PENGGUNA BOT SARAWAK, PEMANDU E-HAILING

BUDI95 TERUS DIPERKASA, KELAYAKAN DIPERLUAS KEPADA PENGGUNA BOT SARAWAK, PEMANDU E-HAILING

402
0

Oleh; Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus diperkasakan melalui pelaksanaan penambahbaikan secara berperingkat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa kelayakan BUDI95 kini diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak, selepas langkah sama dilaksanakan minggu lalu untuk pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut MoF, berdasarkan data daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri berkaitan, lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak sudah diaktifkan kelayakannya di bawah program berkenaan.

Sementara itu, bagi kategori pemandu e-hailing, MoF memaklumkan semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membabitkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan tersebut.

“Pada masa sama, kerajaan turut menaikkan siling penggunaan bahan api bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan, iaitu peningkatan dua kali ganda daripada had asal.

“Dalam perkembangan sama, lebih 11,400 pemegang lesen memandu baharu dan diperbaharui kini turut layak menerima manfaat BUDI95. Jumlah itu membabitkan 11,200 individu yang baru memperoleh lesen serta 260 yang sudah memperbaharui lesen memandu, menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menikmati faedah program subsidi ini,”menurut kenyataan itu.

MoF menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan terus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan dan menambah baik sistem dari semasa ke semasa bagi menjamin keberkesanan program subsidi bersasar tersebut.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal rasmi BUDI MADANI, menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595, atau menghantar mesej ke WhatsApp +603-2631 4595. Portal berkenaan turut menyediakan ciri semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here