Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dalam Operasi Penguatkuasaan di sekitar Lembah Sireh, di sini, semalam.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata seramai 11 individu temasuk 10 migran ditahan menerusi Ops Serkap yang dijalankan kira-kira jam 7 pagi disertai 12 pegawai penguat kuasa JIM Kelantan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita warga India, dua lelaki warga Pakistan serta seorang wanita warga Indonesia, selain seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun yang bertindak sebagai pemandu atau transporter membawa masuk migran secara haram.
“Hasil risikan dan pemantauan rapi, pasukan kami berjaya menahan semua suspek bersama sebuah kenderaan yang digunakan bagi kegiatan penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati empat lelaki warga India yang ditahan sebelum ini sudah ditolak kemasukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) Pengkalan Hulu, Perak pada 11 Oktober lalu.
Sementara itu, kesemua migran yang berumur antara 18 hingga 43 tahun dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI,”jelasnya.
IMedikel TV






