INDIA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemukan maut di ruangan bawah tanah sebuah pusat beli-belah yang masih dalam pembinaan di sini pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kejutan dan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat, lapor NDTV.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa dipercayai dirogol sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada awal pagi Sabtu sebelum polis mendaftarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) berdasarkan aduan yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan Raj Nagar Extension yang berada di bawah bidang kuasa Balai Polis Nandgram.
Menurut keluarga mangsa, mayat kanak-kanak itu ditemukan dengan kecederaan serius pada kepala, selain mengalami beberapa patah tulang sebelum dikeluarkan dari ruangan bawah tanah bangunan terbabit.
Polis mengesyaki mangsa mungkin dicampak dari tingkat tiga bangunan yang sedang dalam pembinaan itu. Bagaimanapun, urutan sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Asisten Komisioner Polis Nandgram, Priyashree Pal berkata, polis Ghaziabad sudah menahan dua individu termasuk seorang suspek bawah umur.
Katanya, satu kes sudah dibuka mengikut seksyen berkaitan kesalahan rogol, pembunuhan, Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) serta penculikan.
Bapa saudara mangsa memaklumkan kanak-kanak itu dilaporkan hilang sejak petang Jumaat lalu, menyebabkan seluruh ahli keluarga berusaha mencarinya.
Ibu bapa mangsa difahamkan bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan sama, dan menetap di penempatan sementara di dalam kawasan premis berkenaan.
Berita kematian kanak-kanak itu mencetuskan kemarahan penduduk setempat, malah beberapa individu dilaporkan cuba menyerang seorang pengawal keselamatan yang bertugas di lokasi terbabit menyebabkan anggota polis tambahan dikerahkan bagi mengawal keadaan dan memastikan ketenteraman awam. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






