Home Buletin Semasa 325 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI DI PUTRAJAYA

325 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI DI PUTRAJAYA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 325 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di Putrajaya, awal pagi tadi.

Operasi berkenaan dijalankan susulan aduan serta maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang tinggi di kawasan berkenaan.

Operasi membabitkan 127 pegawai dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JIM menerusi kenyataan di laman rasmi memaklumkan, tindakan itu dibuat selepas risikan serta pemantauan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 740 individu diperiksa, dengan 325 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 270 lelaki dan 55 perempuan, berusia antara 18 hingga 56 tahun, membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand,” kata JIM.

JIM berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas, selain kesalahan lain mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” kata JIM.

JIM dalam kenyataannya menegaskan pihaknya memandang serius setiap aduan serta maklumat awam berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen.

Katanya, setiap maklumat yang mempunyai asas akan dinilai dan dikembangkan menerusi risikan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersasar mengikut peruntukan undang-undang.

JIM turut memberi peringatan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji, melindungi atau membantu warga asing melakukan kesalahan imigresen.

“Majikan dan pemilik premis juga diingatkan supaya memastikan setiap warga asing yang digaji atau ditempatkan mempunyai dokumen serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan,” kata JIM.

Orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat lengkap melalui saluran rasmi JIM sekiranya mengesyaki keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau berlaku pelanggaran undang-undang imigresen.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here