Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 280 graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bakal menerima skrol masing-masing pada Istiadat Konvokesyen KIAS kali ke-26 yang berlangsung di Dewan Johor, KIAS, Sabtu ini.
Daripada jumlah tersebut, 79 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, manakala 201 lagi menamatkan pengajian di peringkat Diploma.
Graduan terbabit terdiri daripada 82 orang daripada Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, 98 daripada Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab, 68 daripada Fakulti Syariah dan Muamalat serta 32 daripada Fakulti Usuluddin dan al-Quran dan Sunnah.
Rektor KIAS, Profesor Dr. Mazlan Ibrahim berkata, perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan institusi berkenaan dalam memperkukuh kualiti pendidikan tinggi Islam serta melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing.

“Konvokesyen kali ini turut mencatatkan pencapaian penting apabila kesemua tujuh program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan KIAS telah melahirkan kumpulan graduan masing-masing.
“Antara graduan yang bakal diraikan ialah Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori penglihatan daripada Program Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dengan Pengurusan.
“Muhammad Qayyim Nizar sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2023,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pencapaian graduan KIAS turut terserlah menerusi kejayaan lapan graduan Diploma melanjutkan pengajian ke Mesir baru-baru ini.
“Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan keupayaan graduan KIAS meneruskan pengajian ke institusi luar negara selain memperkukuh mobiliti serta jaringan akademik antarabangsa.
“Sehingga 2026, seramai 91 graduan Diploma KIAS telah melanjutkan pengajian di Mesir, termasuk di Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra,” katanya.
Istiadat Konvokesyen KIAS kali ke-26 bagi Sidang Satu bakal disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sementara itu, Sidang Dua akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS Darulnaim Sdn. Bhd. (KDSB), Datuk Wan Roslan Wan Hamat.
IMedikel TV






