Home Sukan BERTAHAN SUDAH JADI IDENTITI PARAGUAY

BERTAHAN SUDAH JADI IDENTITI PARAGUAY

32
0

FOXBOROUGH: Jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro menyifatkan kemenangan dramatik ke atas Jerman menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi Piala Dunia sebagai bukti semangat juang dan kekuatan bertahan yang sudah sebati dengan identiti negaranya.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pengendali dari Argentina itu sebelum ini dikritik selepas Paraguay dibelasah 1-4 oleh tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, pada aksi pembukaan selain hanya menjaringkan satu lagi gol dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Paraguay tetap berjaya melangkah ke pusingan kalah mati sebelum mengejutkan juara dunia empat kali itu menerusi kemenangan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Kekalahan itu turut menyaksikan Jerman tewas buat kali pertama dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia.

“Saya beritahu pemain bahawa kami baru sahaja melalui satu malam yang penuh epik. Keupayaan untuk bertahan sudah menjadi sebahagian daripada identiti kami,” katanya.

Paraguay membuka tirai jaringan menerusi tandukan Julio Enciso pada minit ke-42 biarpun Jerman lebih banyak menguasai permainan sebelum Kai Havertz menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Selepas itu, wakil Amerika Selatan berkenaan bertahan habis-habisan, termasuk terselamat daripada satu gol Jerman yang dibatalkan sebelum memastikan kemenangan menerusi penentuan penalti.

Jose Canale muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kemenangan, walaupun dua rakan sepasukannya terlebih dahulu gagal menyempurnakan tugasan dari titik putih.

“Ia perlawanan yang sangat sukar. Kami tahu akan berdepan detik-detik mencabar, tetapi daripada memikirkan perbezaan antara kedua-dua pasukan, kami datang untuk bersaing.

“Seperti biasa dengan Paraguay, kami tidak pernah memperoleh sesuatu tanpa melalui penderitaan,” katanya.

Paraguay akan bertemu sama ada Perancis atau Sweden pada pusingan 16 terbaik yang dijadual berlangsung 5 Julai ini. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here