Aura Ernie Zakri menerusi lagu Masing-Masing, nyanyian Shidi Data yang menggamit memori dan kelincahan penyanyi cilik Talita serta Victoria berjaya memukau penonton yang membanjiri Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20, baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, walaupun ‘bersaing’ dengan beberapa program hiburan di lokasi lain yang turut diadakan secara percuma di sekitar Lembah Klang, acara yang diadakan sebagai tanda keraian dan penghargaan kepada penduduk Petaling Jaya menarik kehadiran hampir 20,000 peminat pelbagai peringkat usia dan bangsa.
Resipi menggabungkan pelbagai konsep persembahan antaranya persembahan cahaya, bunga api dan tarian budaya ini membuatkan peminat tidak berganjak menonton konsert yang berlangsung dalam suasana santai dengan kehadiran rata-rata golongan berkeluarga.
Acara dimulakan dengan persembahan khas “Revolusi Petaling Jaya” berupa tayangan video Kecemerlangan MBPJ Tahun 2025.
Ia seterusnya perasmian majlis oleh Exco Perumahan & Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon pada jam 9 malam.
Acara selepas itu diisi dengan perarakan masuk peserta dari setiap unit jabatan di MBPJ dan seterusnya diisi dengan persembahan kebudayaan.
Hampir sejam setengah berlangsung, saat yang dinanti-nantikan peminat akhirnya tiba apabila persembahan artis dimulakan sekali gus membuatkan orang ramai teruja.
Talita tampil di atas pentas menyampaikan lagu Jangan Kau Mimpi yang pernah dinyanyikan oleh ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Melihatkan pada aksi penuh kelincahan, Talita dijangka mampu mencipta kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Tidak kurang hebatnya apabila Shidi Data menyampaikan rangkaian lagu-lagu popularnya pada era kegemilangan muzik rock 1990-an, malah ada peminat yang turut sama menyanyikan lagu ini.
Suasana semakin rancak apabila Victoria tampil dengan persembahan menarik buat penonton yang hadir.
Keputusan penganjur meletakkan Ernie sebagai artis penutup adalah satu langkah tepat kerana peminat tidak berganjak kerana sanggp menunggu sehingga akhir konsert.
Ernie memilih menyampaikan lagu Masing-Masing dan Boneka yang sudah cukup menghilangkan kerinduan warga Petaling Jaya terhadapnya.
Kemantapan persembahan setiap artis yang dibawakan serta dibantu dengan penataan cahaya yang menarik dan sistem bunyi mantap di pentas ternyata memukau peminat.
Konsert berakhir mengikut jadual pada jam 12 tengah malam dan peminat yang hadir dihadiahkan dengan persembahan bunga api sebagai penutup. – BH Online –
IMedikel TV






