STADE: Seorang lelaki bersenjata membunuh empat wanita dan dua lelaki di sebuah pusat perlindungan untuk ibu serta anak mereka di Jerman, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Polis memaklumkan suspek terbabit sedang terbabit dalam pertelagahan mengenai hak penjagaan anak perempuannya yang berusia tiga bulan.
Pasukan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di bandar Stade, utara Jerman, dan menemui empat mangsa sudah meninggal dunia.
Mangsa kelima disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian di lokasi, manakala mangsa keenam meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Ketua Polis Lueneburg, Kathrin Schuol, yang mengetuai siasatan, berkata suspek mempunyai temu janji bersama beberapa mangsa bagi membincangkan urusan hak penjagaan anak perempuannya yang berusia tiga bulan.
“Kanak-kanak itu dan ibunya turut berada di lokasi, namun tidak cedera akibat tembakan,” katanya.
Schuol berkata, keenam-enam mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki yang bertugas sebagai pegawai kebajikan kanak-kanak, dan semuanya ditembak dengan kejam.
Seorang lagi mangsa cedera dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 65 tahun, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarga suspek, namun berjaya diberkas selepas dikejar polis tidak lama kemudian.
Polis melepaskan tembakan ke arah kereta berkenaan, namun suspek dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-duanya kini ditahan bagi membantu siasatan.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyifatkan kes tembakan itu sebagai amat mengejutkan.
“Ramai individu yang berusaha membantu dan melindungi orang lain kehilangan nyawa atau cedera. Ingatan saya bersama mangsa dan keluarga mereka,” katanya.
Schuol berkata, suspek sebelum ini pernah disiasat oleh polis, termasuk kerana membuat ugutan, namun tidak pernah dianggap sebagai individu yang mempunyai kecenderungan melakukan keganasan.
Beliau berkata, suspek tidak memiliki lesen senjata api dan pihak berkuasa masih belum dapat memastikan bagaimana dia memperoleh senjata yang digunakan dalam serangan itu.
Polis memaklumkan suspek ialah warga Turki, namun dilahirkan di Jerman.

Menurut Schuol, ibu kepada bayi perempuan itu memberitahu polis selepas kejadian bahawa dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan suspek.
Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di bawah jagaan pihak berkuasa sementara polis menyoal siasat ibunya dan meneruskan siasatan.
Suspek menetap di Hanover, kira-kira 200 kilometer (km) ke selatan Stade.
Schuol berkata, pusat perlindungan di Stade, sebuah bandar di tebing Sungai Elbe kira-kira 50km di barat Hamburg, dikendalikan penyedia perkhidmatan swasta, namun turut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan termasuk agensi kebajikan kanak-kanak di Hanover.
Rakaman video amatur yang disiarkan akhbar Bild menunjukkan sekatan jalan raya polis menghalang sebuah kereta penumpang Mercedes yang tayar belakangnya pecah di sebatang jalan luar bandar.
Anggota polis bersenjata kemudian dilihat mengarahkan dua individu di dalam kenderaan itu keluar sebelum menahan mereka ketika kedua-duanya meniarap di atas jalan.
Jerman mempunyai antara undang-undang kawalan senjata api paling ketat di Eropah yang mewajibkan individu berusia bawah 25 tahun menjalani pemeriksaan psikiatri sebelum memohon lesen senjata api.
Bagaimanapun, kes tembakan beramai-ramai masih berlaku dari semasa ke semasa, dengan kejadian pada Isnin itu antara yang paling buruk dalam tempoh kebelakangan ini. — AFP, BH Online –
IMedikel TV






