Home Politik BEKAS KP SPRM MOHON SERTAI UMNO

BEKAS KP SPRM MOHON SERTAI UMNO

283
0

BUTTERWORTH: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad membuat kejutan apabila memohon menyertai UMNO di sini, malam tadi.

Memetik laporan menerusi Berita Harian beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd Ramli Daud dalam satu majlis di Sungai Dua.

Dzulkifli berkata keputusannya itu diambil kerana ingin membantu rakyat terutama di Tasek Gelugor tanpa mengira latar belakang mereka.

Katanya, beliau mengambil masa agak lama bagi menyertai UMNO kerana mahu membuat penilaian terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam dunia politik.

“Jadi, saya rasa sudah tiba masanya saya (sertai UMNO) dan serahkan borang keahlian saya sebagai ahli UMNO.

“Bagi saya, apa yang penting adalah dapat terus membantu rakyat di Tasek Gelugor ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya kepada pemberita, di sini.

Hadir sama menyaksikan majlis itu adalah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Zulkiflee Yahaya.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata beliau memilih menyertai UMNO kerana parti berkenaan pernah menjadi dominan suatu ketika dahulu selain ingin membawa nafas baharu untuk parti milik orang Melayu itu.

Menurutnya, beliau kini hanya ingin menjadi ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan rakyat atau pimpinan UMNO.

Sebelum ini, Dzulkifli pernah memberi bayangan akan menyertai parti politik khususnya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.

Malah, khabar angin turut bertiup kencang apabila menyatakan beliau akan bertanding bagi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU berkenaan namun tidak menjadi kenyataan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here