Home Buletin Semasa MCMC TERIMA 29 ADUAN KAMDUNGAN DALAM TALIAN SEPANJANG TEMPOH PRN JOHOR KE-16

MCMC TERIMA 29 ADUAN KAMDUNGAN DALAM TALIAN SEPANJANG TEMPOH PRN JOHOR KE-16

35
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KULAI: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 29 aduan berkaitan kandungan dalam talian sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, bermula 1 Jun hingga 9 Julai lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata aduan itu membabitkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) serta penipuan di media sosial.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 17 aduan membabittkan berita palsu, 12 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, manakala satu kes membabitkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran.

“MCMC sebenarnya sudah menerima 29 aduan berkaitan kempen-kempen atau kandungan yang membabitkan berita palsu, ucapan kebencian atau penipuan sepanjang tempoh tersebut.

“Semua aduan yang diterima sudah disalurkan kepada platform media sosial untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, bagi kes ucapan kebencian berunsur 3R, sebanyak sembilan kes membabitkan isu kaum, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi diraja.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat tidak sahih atau kandungan berunsur kebencian.

“Saya menyeru kepada pengundi supaya tidak terpedaya dengan berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur kebencian.

“Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai pengundi dengan bijaksana,” katanya.

Sementara itu, walaupun berdepan kekurangan fizikal akibat cerebral palsy (CP), Lia Isabella Iskandar Nain, 20, tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor hari ini.

Penjaganya, Salihaton Awang, 52, berkata remaja yang mesra dipanggil Bella itu begitu teruja untuk mengundi buat kali pertama selepas mengikuti laporan media mengenai pilihan raya.

“Bella mengundi buat kali pertama. Saya dapat lihat keterujaannya untuk mengundi sejak awal apabila melihat bendera pelbagai parti dipasang di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

“Sejak awal lagi Bella memang bersemangat hendak mengundi. Dari rumah lagi dia sudah bersiap kerana tidak sabar untuk datang ke pusat mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Ibunya meminta saya membawa Bella ke sini untuk mengundi kerana ibunya bekerja. Saya pula akan mengundi sebentar lagi,” katanya yang tinggal di Taman Muhibbah.

Hari ini, lebih 2.7 juta pemilih layak mengundi dalam PRN Johor Ke-16 bagi memilih wakil rakyat masing-masing.

Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak bagi membolehkan rakyat negeri itu menentukan mandat baharu di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here