Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Sebanyak 352 kilogram (kg) pelbagai jenis sampah berjaya dikumpulkan menerusi kempen ‘Jom Sayangi dan Bersih Pantai’ yang dianjurkan Jabatan Perikanan Pahang di pesisir Pantai Anak Air, di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata antara sampah yang dikumpulkan ialah botol minuman, plastik dan bekas makanan sebelum dilupuskan oleh agensi berkaitan.
“Penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan meminimumkan pencemaran ekosistem marin, khususnya pencemaran plastik yang turut menjadi antara punca kematian penyu,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.
Katanya, sempena program berkenaan, pihaknya turut memberikan penghormatan kepada ‘hero’ pantai iaitu kakitangan Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. yang bertungkus-lumus menjalankan kerja pembersihan setiap hari bagi memastikan pantai di Pahang sentiasa bersih dan terpelihara.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuang sampah ke laut, sungai serta di tempat awam kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada spesies terancam seperti penyu.
“Penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan kempen ini akan diteruskan di kawasan pantai di daerah ini, Pekan dan Rompin,” katanya.
Beliau berkata, kempen ‘Jom Sayangi dan Bersih Pantai’ perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap pencemaran marin yang, jika tidak dikawal, turut boleh menjejaskan produk pelancongan.
Roslan turut mengalu-alukan orang ramai mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating (PKPPC) bagi mendapatkan ilmu berkaitan penyu apabila pusat itu dibuka secara rasmi tidak lama lagi.
Program yang bermula pada jam 9 pagi itu disertai lebih 105 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta, komuniti setempat serta penuntut universiti yang bergotong-royong mengutip dan memindahkan pelbagai jenis sampah di kawasan pantai.

IMedikel TV






