Home Buletin Semasa 100KG PUKAT HANTU DIPINDAHKAN, PENYELAM HARUNGI ARUS DERAS DAN ANGIN KENCANG

100KG PUKAT HANTU DIPINDAHKAN, PENYELAM HARUNGI ARUS DERAS DAN ANGIN KENCANG

51
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Cabaran angin kencang dan arus deras tidak menghalang 12 penyelam profesional memindahkan 100 kilogram (kg) pukat hantu yang tersangkut pada sebuah bot tunda karam di perairan Kuantan berhampiran Tanjung Gelang, di sini, semalam.

Operasi tanggungjawab sosial korporat sektor pelancongan itu membabitkan 12 penyelam yang menyelam pada kedalaman kira-kira 20 meter bagi memindahkan sebanyak mungkin pukat hantu yang menjadi ancaman utama kepada hidupan marin di kawasan berkenaan.

Ketua penyelam, Mohd Ariff Ismail, 41, berkata arus laut yang deras serta angin kencang menjejaskan operasi kali pertama itu yang sepatutnya mampu memindahkan lebih banyak pukat hantu yang tersangkut pada badan bot tunda karam berkenaan.

Menurutnya, keadaan air laut yang surut turut menjejaskan operasi yang berlangsung selama kira-kira empat jam bermula jam 11 pagi dan difahamkan pukat hantu itu telah lebih sebulan tersangkut pada bot berkenaan, selain terdapat banyak ikan mati pada pukat terbabit.

Katanya, saiz pukat hantu yang besar dan panjang menyukarkan usaha memindahkannya ke darat untuk dilupuskan. Justeru, pihaknya hanya mampu memotong dan meleraikan pukat hantu, terutama jenis benang kasar yang dipenuhi lumut serta pelbagai jenis kerang.

“Arus air laut yang deras dan angin kencang menyebabkan tali boya putus dan empat penyelam gagal sampai ke lokasi bot karam. Seorang penyelam turut hanyut dibawa arus deras sebelum diselamatkan oleh pemandu bot.

“Sekiranya berpeluang, kami ingin sekali lagi menyertai operasi memindahkan pukat hantu di sini bagi memastikan semua pukat hantu yang tersangkut pada bot karam itu dapat dibersihkan sepenuhnya, sekali gus memastikan lokasi berkenaan terus menjadi destinasi pelancongan terutama dalam kalangan penggemar aktiviti menyelam,” katanya.

Beliau yang juga ahli Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia berkata, operasi kali ini turut disertai seorang penyelam warga Rusia dan tiga penyelam wanita tempatan yang berpengalaman luas dalam aktiviti memindahkan pukat hantu.

Mohd Ariff berkata, pihaknya bercadang mengadakan program memindahkan pukat hantu di Pulau Tioman dengan kerjasama Jabatan Perikanan Pahang, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat. Program itu dijangka diadakan pada Oktober sebelum bermulanya Monsun Timur Laut.

Bagi Ivalina Hanis, 43, pengalaman menyertai operasi memindahkan pukat hantu di perairan Kuantan kali ini disifatkan sebagai menarik walaupun mencabar apabila berdepan arus deras, angin kencang dan ombak besar.

“Saya terpaksa berhati-hati sepanjang operasi kerana bimbang dihanyutkan arus deras. Demi keselamatan, kami sentiasa berada berdekatan antara satu sama lain dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

“Kami bersyukur kerana tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini sepanjang misi yang mengambil masa lebih empat jam itu,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here