Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko kebakaran susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga September ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini sedang berdepan fenomena El Nino yang menyebabkan jumlah taburan hujan lebih rendah berbanding kebiasaan.
“Sebagai langkah awal, JBPM Kelantan sudah membuat persediaan rapi berikutan peningkatan kes kebakaran yang direkodkan sebelum ini.
“Sepanjang tahun ini, pihaknya menerima sebanyak 2,190 panggilan kebakaran, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Mac dan April,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Fire Point Bomba Komuniti di Pulau Teluk Renjuna, di sini, hari ini.
Terdahulu program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Beliau berkata jika fenomena El Nino berterusan sehingga September, pihaknya menjangkakan kejadian kebakaran terbuka di Kelantan akan terus berlaku.
“Kami sudah menempatkan 30 jentera dan 42 pam di balai-balai bomba bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku kebakaran terbuka,” katanya.
Farhan Sufyan turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama bagi tujuan pertanian dan pembersihan kawasan, kerana kebanyakan kejadian kebakaran terbuka yang berlaku pada Mac dan April berpunca daripada aktiviti berkenaan.
“Kalau perlu melakukan pembakaran, pastikan ia dikawal. Namun, sebaik-baiknya elakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko kebakaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat diperkukuhkan bagi melaksanakan tindakan pencegahan lebih awal dalam menangani risiko kebakaran sepanjang tempoh fenomena El Nino.
IMedikel TV






