Home Buletin Semasa KES DEMAM DENGGI MENINGKAT 34.8 PERATUS, KKM PERKUKUH LANGKAH PENCEGAHAN

KES DEMAM DENGGI MENINGKAT 34.8 PERATUS, KKM PERKUKUH LANGKAH PENCEGAHAN

30
0

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes demam denggi di negara ini terus menunjukkan peningkatan dengan sebanyak 42,848 kes direkodkan sehingga 9 Julai 2026, meningkat 34.8 peratus berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, sebanyak 34 kematian akibat demam denggi direkodkan berbanding 19 kematian pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 78.9 peratus.

Menurut KKM, hampir dua pertiga (63.5 peratus) daripada keseluruhan kes demam denggi tertumpu di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat 7,909 kes, iaitu peningkatan 83.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa Lembah Klang kekal sebagai kawasan tumpuan utama penularan demam denggi dan memerlukan pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu,” menurut kenyataan KKM.

KKM memaklumkan peningkatan kes demam denggi adalah selaras dengan pola epidemiologi penyakit yang lazimnya berlaku secara berkitar dan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perubahan tahap imuniti penduduk, cuaca, persekitaran serta pembiakan nyamuk Aedes.

“Semua negeri perlu terus memperkukuh dan mengekalkan langkah pencegahan serta kawalan secara konsisten kerana situasi demam denggi boleh berubah dengan cepat bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran dan cuaca,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata, usaha pencegahan akan terus diperkukuh menerusi pendekatan whole-of-nation berasaskan prinsip Integrated Vector Management (IVM) yang melibatkan pengukuhan survelan penyakit, kawalan vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti serta penguatkuasaan.

Orang ramai turut diseru memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, melaksanakan aktiviti pembersihan secara berkala serta mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here