Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang penyelia ladang cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata seperti parang, batang besi dan kayu dalam kejadian rusuhan di sebuah rumah kongsi di Kampung RKT Kesedar Chalil, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang pada Isnin sebelum laporan polis dibuat berhubung kejadian mendatangkan kecederaan parah dan rusuhan bersenjata itu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitenden Sik Choon Fooberkata, sekumpulan lelaki dipercayai wakil sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan berkaitan kawasan berkenaan hadir ke rumah kongsi tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai permit memasuki kawasan hutan simpan.
“Pertikaian tercetus apabila seorang lelaki didakwa dipukul oleh dua individu daripada kumpulan terbabit.
“Seorang pekerja ladang yang cuba meleraikan kejadian itu kemudiannya diserang secara beramai-ramai menggunakan senjata seperti parang, batang besi dan kayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya akibat serangan tersebut, mangsa, lelaki tempatan berusia 35 tahun, mengalami beberapa kecederaan serius.
“Antara kecederaan dialami termasuk patah tulang lengan kiri, retak tulang kering kaki kiri, kecederaan pada tendon kaki kiri, selain lebam dan bengkak pada mata kiri serta pendarahan pada hidung.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
IMedikel TV






