Home Buletin Semasa KESEDARAN, KEFAHAMAN MASYRAKAT TERHADAP KOMUNITI OKU DIPERKUKUH MELALUI KARNIVAL YOKUK

KESEDARAN, KEFAHAMAN MASYRAKAT TERHADAP KOMUNITI OKU DIPERKUKUH MELALUI KARNIVAL YOKUK

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival YOKUK 2026 yang menghimpunkan seramai 350 kanak-kanak istimewa bersama keluarga, penjaga dan komuniti di YOKUK Foundation, Pengkalan Chepa, semalam.

Bertemakan “Kebersamaan Tanpa Batasan”, karnival itu menjadi platform bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memahami cabaran yang dihadapi golongan berkeperluan khas, selain memperkukuh sokongan terhadap kesejahteraan dan keterangkuman komuniti OKU.

Pengarah Eksekutif YOKUK Foundation, Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, kesedaran dan pemahaman masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti OKU serta keluarga mereka menerima sokongan yang sewajarnya.

“Program seumpama ini bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak istimewa dan keluarga mereka untuk diraikan, malah membantu membuka mata masyarakat mengenai keperluan golongan berkenaan.

“Tema ‘Kebersamaan Tanpa Batasan’ membawa mesej yang sangat dekat dengan usaha YOKUK. Kami mahu kanak-kanak istimewa dan keluarga mereka mempunyai ruang untuk turut serta, diraikan dan menjadi sebahagian daripada komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran dan pemahaman masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti OKU dan keluarga mereka mendapat sokongan yang sewajarnya.

Menurutnya, karnival itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk Fun Walk YOKUK sejauh tiga kilometer, persembahan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sesi perkongsian kesihatan, aktiviti komuniti serta sambutan hari lahir untuk 350 kanak-kanak istimewa.

Katanya program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran kesihatan komuniti yang mendapat sokongan Yayasan Sime Darby dan Kementerian Kewangan Malaysia menerusi Belanjawan 2026 bagi meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aspek kesihatan, kesejahteraan dan keterangkuman komuniti OKU.

Selain itu, MBSB Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia turut menyumbang kepada YOKUK Foundation serta klien terpilih sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan sokongan kepada komuniti berkeperluan khas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here