Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kota Bharu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pagi ini.
Anwar berkata, beliau dan keluarga mengenali Allahyarhamah yang mesra disapa sebagai Kak Hasmah sebagai seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwa.
Katanya, Allahyarhamah juga sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya dengan penuh kasih sayang seperti seorang ibu.
“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat.
“Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau hari ini.
Anwar turut merakamkan setulus-tulus takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga atas pemergian Almarhumah.
Beliau bersama Wan Azizah turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada seluruh keluarga yang ditinggalkan.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Kerajaan turut memutuskan untuk memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah, dengan Anwar mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera membantu urusan pengurusan pengebumian.
IMedikel TV






