BUKAYU, DR CONGO: Lebih 170 orang maut berikutan hujan lebat dan banjir di wilayah Kivu Selatan di timur Republik Demokratik (DR) Congo, kata pegawai pada Jumaat, selepas hujan lebat mengorbankan puluhan nyawa di negara jiran, Rwanda.
Gabenor Kivu Selatan, Theo Ngwabije, berkata puluhan orang tidak ditemui di wilayah Kalehe, barat Tasik Kivu dan berhampiran sempadan Rwanda, yang mana banjir turut menghanyutkan ratusan rumah.
“Kami mempunyai kira-kira 176 orang maut dengan kira-kira 100 orang hilang,” katanya ketika melawat kawasan yang terjejas.
Penolong Pentadbir Kalehe, Archimede Karhebwa, sebelum ini memberitahu AFP bahawa kira-kira 100 orang maut.
Beberapa kampung di Kalehe ditenggelami air apabila sungai pecah selepas hujan lebat, katanya. Karhebwa berkata banjir memusnahkan ratusan rumah.
Innocent Mupenda, seorang tokoh masyarakat sivil dari wilayah itu, berkata hujan lebat bermula petang Khamis.
AFP tidak dapat mengesahkan jumlah kematian, dengan angka yang dilaporkan berbeza-beza.
Seorang anggota pasukan penyelamat yang dikerahkan pada Jumaat, yang enggan namanya disiarkan, berkata pencarian diteruskan di dalam runtuhan.
Hujan lebat ketika musim hujan di Afrika kerap menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Bagaimanapun pakar menyatakan kejadian cuaca ekstrem di Afrika berlaku dengan peningkatan kekerapan dan intensiti akibat perubahan iklim.
Bulan lalu, tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat mengorbankan kira-kira 20 orang di Kivu Utara, wilayah yang berjiran dengan Kivu Selatan.
Sumber: BH Online & AFP
Imedikel TV






