Home Hiburan BANGLO SHARIFAH AINI SUDAH DIROBOHKAN

BANGLO SHARIFAH AINI SUDAH DIROBOHKAN

144
0

KUALA LUMPUR: Banglo yang pernah didiami Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dilaporkan kini hanya tinggal timbunan runtuhan.

Dalam laporan berita, banglo dua tingkat itu diratakan oleh pemilik baharu yang merancang untuk membangunkan projek komersial di tapak yang terletak di Petaling Jaya itu.

Laporan itu juga memetik seorang kakitangan keselamatan yang diupah oleh pemilik baharu sejak awal tahun ini mengatakan proses merobohkan banglo seluas 1,858 meter persegi itu bermula sejak Mei lalu.

“Saya diberitahu bahawa penghuni banglo ini adalah penyanyi popular dan kemudiannya dibeli oleh syarikat pembangunan hartanah. Itu saja yang saya tahu,” kata kakitangan keselamatan itu.

Sumber rapat dengan keluarga itu turut mengesahkannya, tetapi tidak mengetahui nama syarikat, mahupun harga yang ditawarkan kepada waris tunggal Allahyarham iaitu anaknya, Aliff Omar Ali, 42.

Seorang lagi rakan karibnya dilapor berkata, semua barangan peribadi milik penyanyi tersohor itu terutama berkaitan kerjaya nyanyiannya sudah dipindahkan dan disimpan ke tempat lain.

“Setahu saya, semua barang sudah dialihkan dengan selamat selepas tiga tahun hartanah itu dijual. Mungkin pada 2020 ketika fasa pandemik Covid-19,” katanya.

Turut dilaporkan, bahawa barangan lebih besar seperti perabot juga dijual kepada rakan dan ahli keluarga pada masa itu.

Laporan itu berkata, Aliff memutuskan untuk menjual banglo itu kerana ia terlalu besar untuk lima sekeluarga, selain ia terlalu mahal untuk diselenggara.

Bagaimanapun, Aliff tinggal di banglo berkenaan selama beberapa tahun selepas Allahyarham ibunya meninggal dunia pada 5 Julai 2014 akibat komplikasi fibrosis pulmonari.

Beberapa laporan mendakwa, banglo itu dijual pada harga RM8 juta, empat tahun selepas pemergian arwah.

Pada zaman kegemilangannya, banglo itu dilengkapi dengan perpustakaan, dua dapur, sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan dan bilik pembantu rumah.

Banglo itu juga mempunyai bilik almari pakaian yang dikatakan kelihatan seperti galeri pameran. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here