Home Sukan RANGNICK TIDAK PERCAYA AUSTRIA TERSINGKIR

RANGNICK TIDAK PERCAYA AUSTRIA TERSINGKIR

152
0

LEIPZIG: Pengendali Austria, Ralf Rangnick mengakui terkejut selepas pasukannya tersingkir daripada Euro 2024 susulan kekalahan 2-1 di tangan Turkiye pada aksi pusingan 16 terakhir, awal pagi tadi.

Rangnick berkata pasukannya bermain empat perlawanan yang menghiburkan dan berintensiti tinggi sebelum ini serta berhak mara ke suku akhir kejohanan.

Namun mereka terpaksa membayar harga yang cukup tinggi disebabkan pertahanan lemah yang menyaksikan Austria ketinggalan hanya selepas 57 saat sepak mula.

Merih Demiral membuka tirai jaringan selepas 57 saat sebelum menambah satu lagi gol menerusi tandukan pada minit ke-59 untuk membawa Turkiye ke suku akhir bertemu Belanda di Berlin pada Sabtu.

Austria merapatkan jurang menerusi Michael Gregoritsch dan hampir menyamakan kedudukan, namun percubaan Christoph Baumgartner dalam masa kecederaan dinafikan penjaga gol Turkiye, Mert Gunok dengan sebelah tangan.

“Jika anda ketinggalan dengan dua gol, ia bukan mudah. Pasukan mencuba segala-galanya. Kami kemudian menjaringkan satu gol dan kami mempunyai masa yang cukup untuk seri.

“Ia sukar jika anda mempunyai Gordon Banks di gawang,” kata Rangnick yang menyamakan ketangkasan Gunok seperti bekas penjaga gol England itu ketika menafikan tandukan legenda Brazil, Pele pada Piala Dunia 1970.

Kekalahan Austria menyaksikan kemarau mereka untuk memenangi perlawanan di pusingan kalah mati dalam kejohanan utama berlanjutan selama tujuh dekad.

“Anda juga memerlukan sedikit nasib. Jika tandukan Baumgartner di akhir perlawanan masuk, kami boleh memenangi perlawanan ini.

“Ini adalah peluang bersejarah untuk menang, untuk mara ke suku akhir dan bermain menentang Belanda. Saya tidak percaya bahawa kami akan pulang hari ini. Kami fikir bahawa kami akan meneruskan perjalanan kami di sini,” katanya.

Rangnick berkata, pasukannya kini perlu mengekalkan momentum mereka dan memastikan pasukan layak ke Piala Dunia sejak 1998. – REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here