MENYELAMI liku-liku kehidupan yang penuh emosi dan ujian drama rantaian Rindu Kasih Finale, Teratak Kasih Salina disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam di slot Samarinda TV3.
Diterbitkan oleh P&D Pictures Sdn Bhd, musim penutup yang penuh dramatik ini menjanjikan perjalanan yang meruntun jiwa, dengan skrip nukilan K Adlie dan Shaza Talib serta arahan Pali Yahya.
Drama 15 episod ini dihidupkan dengan lakonan penuh penghayatan oleh barisan pelakon popular tanah air seperti Ummi Nazeera, Fazlina Ahmad Daud, Aqasha, Luqman Hafidz, Erin CTJ dan ramai lagi.
Menurut Ummi yang membawa watak Salina memerlukan dirinya bermain dengan emosi yang kuat.
Katanya, Salina adalah seorang pejuang bukan mangsa dalam siri kali ini.
“Jika sebelum ini dia sering ditindas, kali ini dia bangkit lebih kuat.
Rindu Kasih Finale ini juga memberi fokus kepada Teratak Kasih, pusat perlindungan untuk remaja kurang bernasib baik.
“Ini bukan sekadar tempat perlindungan, tetapi perjuangan yang ingin Salina tegakkan, membuka mata penonton tentang realiti golongan ini,” katanya.
Teratak Kasih Salina mengisahkan perjalanan hidup Salina yang berusaha mengumpul serpihan hidupnya selepas kehilangan Amir dan Fayyad.
Dia mula menerima kenyataan dan meneruskan hidup dengan membuka sebuah pusat perlindungan dinamakan Teratak Kasih untuk membantu wanita yang bermasalah atau terlanjur.
Di sudut lain, Halijah masih terkurung dalam bayangan masa silam. Trauma insiden tragis yang menimpa anaknya, Amir menyalakan dendam dalam hatinya untuk menghancurkan hidup Salina.
Pada waktu sama, ketegangan memuncak apabila Faqeh berselisih faham dengan bekas abang iparnya, Qassim yang dianggap lebih mementingkan syarikat dan perniagaan keluarga.
Dalam mencari ketenangan, Salina dipertemukan dengan Faqeh yang mula menunjukkan minat terhadapnya, namun hatinya masih tertutup. Takdir kemudiannya menemukan mereka semula di Makkah, membuka lembaran baharu yang tidak dijangka.
Faqeh berusaha membuktikan cintanya, bukan kerana Salina tetapi demi memenuhi cabaran kekasihnya, Ika.
Qassim yang hadir di antara Salina dan Faqeh pada awalnya pula hanya ingin menyelamatkannya daripada lelaki itu.
Namun, tanpa disedari, perasaan yang sekadar simpati perlahan-lahan bertukar menjadi cinta membuatkannya melamar Salina.
Akhirnya disatukan dalam sulaman cinta, rumah tangga Qassim dan Salina diancam oleh rancangan licik Keisha dan Faqeh.
Konflik semakin meruncing apabila dendam Salina terhadap Halijah tidak surut, meskipun wanita itu kini terperangkap dalam dunia PTSD dan Alzheimer akibat tragedi hitam.
Biarpun dilayan dengan penuh kasih, malah dianggap sebagai anak sendiri, Salina masih tidak mampu melupakan keperitan kehilangan Fayyad, luka lama yang masih berdarah. – HMetro Online –
IMedikel TV






