Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Atlet angkat berat Pahang, Muhammad Amin Khirul Anuar menanam impian untuk menyumbang pingat emas bagi kontinjen Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Ogos depan.
Kali kedua beraksi di pentas Sukma, badang muda kelahiran Johor itu akan beraksi dalam kategori 71 kilogram (kg).
Rekod peribadi angkatan keseluruhan dipegang ialah 260 kilogram (kg) iaitu 110 kg dalam acara snatch dan 150 kg dalam clean and jerk.
Pada SUKMA Sarawak 2024 dia gagal menyerlah apabila hanya mampu berada di tangga keempat selepas dikecewakan atlet Sabah, Selangor dan Perlis.
Muhammad Amin berkata, pada SUKMA Selangor kali ini dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan yang tersusun lebih dua tahun bagi menebus kekecewaan lalu.
Katanya, pengalaman dan latihan secara berterusan selama dua tahun menjadi bekalan terbaik untuknya membawa pulang pingat emas buat kali pertama selepas percubaan pertama berakhir dengan kegagalan.
“Saya meletakan impian untuk membuat angkatan keseluruhan lebih 260 kg dalam acara snatch dan clean and jerk, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas yang diharapkan.
“Saya percaya saingan daripada atlet Perlis, Sabah, Terengganu, Sarawak dan Selangor sekali lagi akan diterima. Siapa yang lebih gagah membuat angkatan, mereka akan pulang dengan kilauan pingat emas,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pembabitannya dalam sukan angkat berat kini memasuki enam tahun, impian yang ingin dicapai di peringkat kebangsaan ialah untuk mendapat pingat SUKMA sebelum meninggalkan kejohanan dwi tahunan itu.
Muhammad Amin menambah, dia kini menjalani latihan kira-kira tujuh jam sehari di bawah bimbingan jurulatih, Zainudin Joseph di pusat latihan angkat berat di Rompin bersama 13 atlet angkat berat lain.
Katanya, peluang dia dan atlet dari Perlis, Terengganu dan Selangor meraih pingat emas dilihat seimbang, masing-masing ada peluang meraih pingat emas, perak dan gangsa.
“Siapa yang melakukan kesilapan dengan kata lain tidak mampu melakukan angkatan dengan sempurna, mereka akan kecewa walaupun diatas kertas dia mampu menyerlah.
“Justeru, bagi memastikan impian menjadi kenyataan saya lebih berminat dengan tidak terlalu yakin. Dengan kudrat yang ada saya akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan harapan diletakkan dapat dilakukan,” katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.
Sukma 2026 di Selangor dijadualkan diadakan dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dan temasya Para Sukma akan diadakan pada 5 hingga 14 September 2026.
IMedikel TV






