Home Buletin Semasa TH INGATKAN BAKAL HAJI 2027, 2028 BUAT PERSEDIAAN AWAL

TH INGATKAN BAKAL HAJI 2027, 2028 BUAT PERSEDIAAN AWAL

23
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menggesa bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan lebih awal, khususnya dari aspek kesihatan, kewangan, penguasaan ilmu ibadah serta mengemas kini maklumat peribadi bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menunaikan ibadah haji.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan, persediaan awal merupakan langkah penting bagi membantu bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah), sekali gus melayakkan mereka menerima surat tawaran haji apabila tiba giliran.

Menurut TH, bakal jemaah disaran menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan tinggi dalam keadaan cuaca panas, berdebu dan persekitaran yang sesak.

“Jemaah juga dijangka berjalan kira-kira 10,000 langkah atau sekitar tujuh kilometer sehari, terutama ketika melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina.

“Dari aspek kewangan, TH menggalakkan bakal haji meningkatkan simpanan secara konsisten. 

“Sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum untuk melayakkan seseorang menerima surat tawaran haji, syarat yang mula diperkenalkan sejak musim haji 1447H/2026M,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan walaupun Kos Haji bagi musim 1448H/2027M belum ditetapkan, TH memaklumkan kos musim haji 1447H/2026M sebanyak RM33,300 seorang boleh dijadikan rujukan awal untuk merancang simpanan.

“Bagi memudahkan pendeposit, TH turut menyediakan kemudahan simpanan berkala menerusi potongan gaji dan potongan terus daripada akaun bank melalui platform THiJARI.

“Dalam pada itu, Kursus Asas Haji bagi membantu bakal jemaah serta orang awam mendalami ilmu ibadah haji dijadual bermula pada 25 September depan,”jelas kenyataan itu.

TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa mereka masih aktif dengan tempoh sah laku yang mencukupi, selain menyemak dan mengemas kini maklumat peribadi menerusi aplikasi THiJARI atau di cawangan TH berhampiran.

Menurut kenyataan itu, peringatan awal akan disalurkan melalui aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan emel rasmi TH sebagai persediaan kepada bakal jemaah yang berada dalam tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M.

Bagaimanapun, TH menegaskan surat tawaran rasmi menunaikan haji hanya akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here