Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SHAH ALAM: Murid daripada keluarga B40 di Kelantan yang berdepan masalah penglihatan bakal menerima manfaat menerusi sumbangan RM50,000 daripada L’Occitane Malaysia kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi menjayakan Program Intervensi Masalah Refraksi Kanak-Kanak Sekolah (School Children Refractive Error Intervention Programme).
Sumbangan itu disampaikan menerusi Majlis Penyerahan Cek Cura yang berlangsung di Setia City Mall, di sini, pada Sabtu.
Cek sumbangan berkenaan diserahkan kepada HPUSM yang diwakili Pakar Oftalmologi Kanak-Kanak merangkap Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian), Profesor Dr Shatriah Ismail.
Dr Shatriah berkata sumbangan itu adalah hasil Program Race for Vision, iaitu larian amal anjuran L’Occitane Malaysia yang bertujuan menyokong inisiatif penjagaan kesihatan mata, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Program intervensi yang akan berlangsung selama setahun bermula Julai 2026 hingga Jun 2027 itu melibatkan murid sekolah rendah di seluruh Kelantan yang dikenal pasti berisiko mengalami masalah penglihatan oleh guru kelas yang telah diberi latihan.
“Murid terbabit kemudiannya akan menjalani pemeriksaan oleh pasukan doktor mata HPUSM mengikut jajahan, manakala mereka yang didapati mengalami masalah penglihatan serius akan dirujuk ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut di bawah kepakaran oftalmologi pediatrik,”katanya.
Beliau berkata menerusi program itu juga, murid daripada keluarga B40 yang mengalami masalah rabun akan menerima cermin mata secara percuma hasil sumbangan L’Occitane Malaysia, selain dipantau secara berkala bagi memastikan tahap penglihatan mereka terus terjaga.
“Sejak tahun 2022, HPUSM menerusi Program KRIS (KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera) giat melaksanakan intervensi awal bagi mengesan dan merawat masalah penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Kelantan, Persatuan Optometris Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan mata dalam komuniti,’katanya.
IMedikel TV






