Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Di zaman sekarang, bukan sahaja wanita yang mengalami masalah kesuburan, tetapi lelaki juga mempunyai masalah yang sama.
Cuma mungkin golongan lelaki berasa malu jika ia berkaitan dengan diri mereka dan ada dalam kalangan pasangan menuding jari kepada isteri masing-masing.
Selain penyakit kelamin iaitu siflis yang sering dikaitkan dengan lelaki atau ejakulasi pramatang (PE), ada lagi satu penyakit yang perlu golongan lelaki tahu.
Penulis tertarik untuk menulis tentang masalah lelaki ini yang mungkin ramai kurang tahu berkenaan itu.
Seperti yang sedia maklum, untuk mendapatkan zuriat pasangan mestilah subur. Jadi, pakar kesuburan akan menguji tahap kesuburan bagi suami dan isteri jika tempoh untuk mendapatkan anak itu mengambil masa yang agak lama bagi sesetengah pasangan suami isteri.
Yang menimbulkan masalah apabila selepas ujian tersebut dilakukan ke atas suami, doktor mendapati tiada benih (sperma) yang dikeluarkan di dalam air maninya.

Situasi di atas di mana si suami tidak dapat menyumbangkan sebarang benih dalam air maninya menyebabkan si isteri tidak dapat mengandung dan istilah perubatan berkaitan masalah itu dikenal sebagai azoospermia.
Apakah itu azoospermia? Mungkin ada yang tidak pernah tahu atau mungkin ada segelintir yang tahu tentang masalah ini.
Menurut portal hellodoktor azoospermia adalah satu keadaan yang membimbangkan yang berkaitan dengan pengeluaran dan penghasilan sperma lelaki.
Situasi itu merujuk kepada keadaan air mani lelaki yang tidak mempunyai kandungan sperma.

Kebiasaannya, sperma akan dihasilkan di dalam testis lelaki dan akan dikeluarkan dalam bentuk air mani apabila lelaki mencapai tahap ejakulasi.
Sekiranya proses ini tidak berlaku, ini mungkin menunjukkan anda menghidap azoospermia!
Mungkin anda tertanya-tanya kenapa keadaan ini boleh berlaku. Menurut Pakar Kesuburan (Fertiliti) dan Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr. Sumithra Devi Valiapan dalam artikel The Malaysian Medical Gazette, terdapat empat keadaan utama yang menyebabkan ketiadaan sperma dalam air mani:
1. Ejakulasi songsang/ Retrograde ejaculation
- Kelainan anatomi pada leher pundi kencing menyebabkan air mani mengalir ke-belakang ke dalam pundi kencing ketika pancutan air mani (orgasme) berlaku. Sperma yang ditemui dalam air kencing ini dapat digunakan untuk persenyawaan dengan telur/oosit si-isteri.
2. Saluran ejakulasi tersumbat
- Sisuami terpaksa menjalani satu pembedahan kecil pada buah zakarnya, namun pengorbanan ini sangat berbaloi, kerana kemungkinan Pakar Kesuburan menemui sperma yang berkualiti tinggi adalah sangat memberangsangkan. Sperma ini dapat digunakan dalam kaedah persenyawaan ICSI.
3. Kerosakan pada buah zakar/testis
- Antara perkara yang dapat menyebabkan kerosakan buah zakar adalah jangkitan kuman, rawatan barah, kelainan anatomi, kecederaan pada kemaluan, pembedahan, penggunaan steroid/ hormon testosteron serta kelainan kromosom.
- Malangnya, terdapat segolongan kecil lelaki yang mempunyai masalah genetik yang menyebabkan buah zakarnya sama sekali tidak dapat menghasilkan sperma, dan tiada rawatan lain yang dapat disyorkan oleh Pakar Kesuburan
4. Kekurangan perembesan hormon yang mengawal fungsi buah zakar/testis (hypogonadotrophic hypogonadism)
- Keadaan ini sangat mudah diubati dengan suntikan hormon yang akan mengatasi kekurangan hormon tersebut. Malahan, kaedah ini dapat menghasilkan jumlah sperma yang mencukupi untuk berlakunya persenyawaan semulajadi, tanpa melibatkan rawatan kesuburan yang rumit.
- Umumnya, pembedahan yang dimaksudkan, adalah prosedur di mana samada sperma disedut dengan jarum dari saluran di bahagian atas buah zakar atau satu goresan yang kecil dilakukan pada permukaan buah zakar dan sebahagian kecil isinya diambil untuk pemeriksaan di bawah mikroskop untuk mengenalpasti sperma. Kaedah ini dilakukan dengan bius dan lazimnya mengambil masa kurang dari sejam.
Menurut portal hellodoktor terdapat dua jenis azoospermia iaitu Obstructive Azoospermia (OA) dan Non-Obstructive Azoospermia (NOA).
Bagaimanapun bagi lelaki yang mengalami kondisi obstructive azoospermia, kondisi ini boleh dirawat dengan pembedahan mikro dengan membuang halangan yang menyebabkan sperma tersekat di dalam sistem reproduktif.

Bagi lelaki yang mengalami kondisi non-obstructive azoospermia, kondisi ini boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan, rawatan hormon serta perubahan gaya hidup. Selain itu, prosedur pengekstrakan sperma juga boleh dilakukan untuk membantu mereka yang mempunyai masalah ini.
Untuk mengenal pasti sama ada air mani anda mempunyai masalah seperti di atas adalah air mana anda sangat cair dan warnanya kekuningan. Jika air mani normal, biasanya ia agak likat dan warnanya keruh air tepung.
Jadi, bagi mereka yang mempunyai masalah ini, anda boleh mendapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut.
IMedikel TV






