Kuala Lumpur : Penyanyi dan pengacara, Azeva, mendedahkan ibunya yang juga penerbit dan pelakon, Datuk A Aida mengenakan tapisan terhadap setiap tawaran lakonan yang diterima.
Memetik laporan Harian Metro, Menurut Azeva, 25, keputusan menolak atau menerima sesuatu tawaran berlakon bukan terletak di tangannya, sebaliknya ditentukan sepenuhnya oleh ibunya yang mahu dia memberi fokus kepada syarikat produksi di bawah ibunya terlebih dahulu.
“Sebenarnya bukan saya yang memilih (tawaran berlakon). Mama (panggilan) yang memilih. Jadi, saya tak boleh kata apa. Mama sangat memilih (tawaran) untuk saya sebab mama nak saya fokus terlebih dahulu untuk berlakon dalam produksi mama,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Mengulas mengenai sejauh mana dia menuruti kehendak ibunya, Azeva mengakui dia tidak pernah membantah, biarpun pernah tergerak hati untuk bertanya mengenai keputusan menolak lambakan rezeki yang datang pada satu-satu masa.
“Saya memang ikut sahaja mama cakap apa. Mama nak apa, saya ikut. Tetapi ada masa, saya bersuara juga. Saya pernah tanya mama kenapa ‘reject’ semua tawaran berlakon itu. Bagi saya, itu rezeki.
“Tetapi, mama nak saya belajar dulu dengan produksimama sebelum saya keluar berlakon dengan syarikat produksi yang lain. Jadi, saya faham sahaja,” katanya lagi.
Ditanya mengenai jika dia mahu keluar dari radar ibunya, Azeva menegaskan dia tidak pernah berasa terbeban berada di bawah ibunya, selain menyedari keperluan keluar dari zon selesa untuk terus berkembang.
“Saya tidak mahu pun keluar daripada mama. Tetapi kadang-kadang bila kita nak ‘grow’ ini kita kena keluarlah daripada zon selesa kita.
“Bagi saya, saya okay sahaja berada di bawah mama. Mungkin mama risau dengan saya, biasalah mak-mak,” kongsinya.
Dalam pada itu, semakin bergiat aktif dalam industri seni, Azeva turut berkongsi bahawa dia tidak pernah berasa terkongkong, malah ibunya itu tidak pernah menghalang untuk dia melakukan apa-apa perkara.
“Saya tidak pernah rasa terkongkong dengan mama. Mama bagi sahaja saya nak buat apa, cuma mama ada nasihat. Mama kata, buatlah apa-apa asalkan tidak buat perkara yang tidak baik.
“Bagi saya, mama memang seorang yang sangat ‘sporting’. Saya nak buat apa, semua dia bagi. Jadi, sebab itu jugalah saya cepat matang sebab mama bagi saya ‘grow up’ sendiri,” ujarnya.– HMetro–
IMedikel TV






