JAKARTA: Indonesia terus menyelaras dengan negara jiran serta memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi menangani jerebu rentas sempadan, selain mempergiatkan usaha domestik untuk mengawal kebakaran hutan dan tanah ketika asap merebak ke beberapa bahagian Asia Tenggara.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Jurucakap Kementerian Luar, Vahd Nabyl, berkata Indonesia mementingkan kerjasama dengan negara jiran dan mengekalkan hubungan dua hala yang baik, terutama dalam menangani isu alam sekitar seperti jerebu yang kesannya melangkaui sempadan negara.
“Bersama negara-negara di rantau ini, Indonesia turut meningkatkan kewaspadaan terhadap cuaca kering yang dikaitkan dengan keadaan iklim semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, sebagaimana dilaporkan BERNAMA.
Jerebu akibat kebakaran di Indonesia merebak ke beberapa bahagian di Asia Tenggara, menjejaskan negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Brunei serta Filipina.
Di Malaysia, darurat diisytiharkan di seluruh Bahagian Serian di Sarawak, semalam, selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, manakala beberapa kawasan lain di negeri itu turut merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya atau sangat tidak sihat.
Mengulas lanjut, Vahd berkata, Indonesia turut menggunakan kerangka ASEAN untuk menangani jerebu membabitkan mekanisme bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) sedia ada, manakala mesyuarat berkala diadakan bagi membincangkan isu itu serta menyelaras langkah susulan.
Beliau berkata, Sekretariat ASEAN yang bertindak sebagai Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC), mengekalkan Amaran Tahap 3 bagi rantau ini sejak 26 Ogos lalu, yang memerlukan negara anggota ASEAN mengemukakan laporan situasi harian termasuk peta trajektori jerebu, untuk diedarkan kepada pihak yang menjadi tumpuan utama nasional.
Katanya, Indonesia telah memenuhi semua kewajipan pelaporan harian dan tindakan mandatori bawah Amaran Tahap 3 selaras prosedur Pemantauan, Penilaian dan Tindak Balas Kecemasan Bersama ASEAN.
Ia termasuk menyediakan secara proaktif data mengenai titik panas, keadaan alam sekitar, petunjuk pergerakan jerebu, serta usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah.
“Indonesia juga terus menggesa supaya Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, BERNAMA-XINHUA melaporkan seorang pegawai tempatan semalam berkata, pihak berkuasa Indonesia menutup sementara tapak pelancongan popular, Gunung Ijen di wilayah Jawa Timur selepas kebakaran hutan berlaku berhampiran kawasan berkenaan.
Agensi pemuliharaan Jawa Timur menggantung aktiviti pelancongan ke kawasan rizab alam semula jadi yang merangkumi daerah Banyuwangi dan Bondowoso itu hingga diberitahu kelak, bagi memastikan keselamatan pengunjung, menurut notis yang ditandatangani ketua agensi berkenaan, Nur Patria Kurniawan.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Banyuwangi, Partana, berkata kebakaran merebak berhampiran Pondok Bunder, iaitu antara lokasi penting di sepanjang laluan menuju kawah, menyebabkan pihak berkuasa menutup laluan berkenaan.
Katanya, anggota bomba dengan sokongan trak bomba dan kira-kira 15 pam air yang mampu menyembur air hingga jarak 15 meter, dikerahkan berhampiran lokasi.
Beliau berkata, pihak berkuasa turut mempertimbangkan operasi pemadaman dari udara kerana tebing serta gaung menyukarkan beberapa lokasi kebakaran untuk dicapai dengan kenderaan.
Ijen adalah antara tarikan pelancongan utama Indonesia – terkenal dengan fenomena api biru yang jarang ditemui serta tasik kawah berwarna firus. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






