Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke lokasi lain termasuk Melaka bertujuan memastikan ianya kekal relevan khususnya di peringkat antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan penganjuran LIMA pada masa depan dapat terus bersaing dengan pameran pertahanan lain yang turut diadakan negara-negara serantau.
Katanya sekiranya aspek berkenaan tidak dinaiktaraf, negara bakal berdepan risiko kehilangan penyertaan peserta antarabangsa pada acara berprestij itu.
“Saya tidak cakap (perlu tukar) esok atau lusa, saya kata pada masa akan datang. Kerana persaingan untuk penganjurannya sangat kuat. Kalau kita tidak tingkatkan kemudahan, keluasan kawasan dan sebagainya, mungkin ramai pihak tidak dapat sertai.
“Ini kerana selain kita, Indonesia, Vietnam dan Thailand juga ada buat pameran aset pertahanan. Jadi atas sebab itu, kita kena sentiasa lakukan penambahbaikan.
“Jika di Langkawi kawasannya terlalu kecil, maka kita kena cari lokasi lain, kalau tak penyertaan peserta akan kurang seperti yang kita harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas tentang cadangan memindahkan penganjuran LIMA ke lokasi lain.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, antara lokasi lain yang sedang dipertimbangkan bagi tujuan itu termasuklah di Klebang, Melaka.
“Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dianjurkan dua tahun sekali di Kuala Lumpur, jadi mungkin DSA boleh dianjurkan dahulu di Klebang. Tetapi ia memerlukan pelaburan dengan pusat konvensyen yang sangat besar.
“Jika kita lihat di Arab Saudi, Abu Dhabi dan sebagainya, dia dibuat di kawasan setingkat, manakala di Malaysia dalam bangunan bertingkat, jadi tak cukup untuk menampung,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa depan.
Bagaimanapun Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan LIMA tidak seharusnya dipindahkan selepas jenamanya dibina selama berpuluh tahun sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri itu berkata perkara itu bukan semata-mata melibatkan perasaan atau sentimental terhadap pameran berkenaan, sebaliknya perlu mengambil kira nilai LIMA sebagai sebuah jenama yang masih relevan.
Tambah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA seharusnya diperbaiki bagi memastikan pameran berkenaan terus relevan.
IMedikel TV






