Home Buletin Semasa LALUAN BAHARU MERIAHKAN SAINGAN TERENGGANU 4X4 MERDEKA CHALLENGE 

LALUAN BAHARU MERIAHKAN SAINGAN TERENGGANU 4X4 MERDEKA CHALLENGE 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA NERUS: Cabaran Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 kali ini dijangka lebih sengit apabila penganjur menambah beberapa halangan baharu pada laluan perlumbaan yang berlangsung selama dua hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

Penambahan halangan itu memberi peluang kepada pelumba untuk merasai cabaran yang lebih mencabar, selain memastikan peserta yang pernah beraksi di Kuala Nerus tidak terlalu bergantung kepada pengalaman mereka di laluan berkenaan.

Seramai 56 pelumba dari hampir seluruh negara mengambil bahagian pada edisi keenam itu, termasuk beberapa pasukan ternama dari Kedah dan Perak yang kembali menyertai saingan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pengarah Pertandingan Terengganu Merdeka 4×4 Challenge, Muhammad Muzammil Mokhetar, berkata format perlumbaan masih dikekalkan dengan lapan Special Stage (SS) bagi keseluruhan dua hari pertandingan.

“Masih mengekalkan lapan SS keseluruhan untuk dua hari perlumbaan seperti edisi lalu cuma untuk edisi kali ini kami memperbanyakkan lagi halangan-halangan yang perlu ditempuhi oleh setiap pelumba.

“Begitu juga jumlah kategori yang dipertandingkan masih sama bagi memberi ruang dan peluang untuk lebih ramai beraksi khususnya bagi mereka yang baru mula menceburi sukan lasak ini,” katanya.

Tambahnya lagi, Bandar Baru Kuala Nerus kekal menjadi destinasi penganjuran edisi ke-6  ini setelah menerima maklum balas positif pada edisi lalu di mana lokasi perlumbaan ini mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang sesuai, selain pilihan penginapan berhampiran yang memudahkan peserta hadir bersama keluarga.

Antara pasukan tuan rumah yang mengambil bahagian ialah Kelab Terjoh! 4×4, UT 4×4 dan GG 4×4, selain beberapa pasukan baharu yang semakin mendapat tempat dalam sukan berkenaan. Bagaimanapun, penyertaan pelumba dari Melaka dan Johor tidak dapat direalisasikan pada saat akhir atas faktor teknikal.

Pemenang tempat pertama ditawarkan wang tunai RM3,000, diikuti RM1,500 bagi tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga, manakala pemenang sehingga tempat kelima turut menerima piala serta hadiah iringan.

Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 yang berlangsung selama dua hari sebelum melabuhkan tirai pada 5 September 2026 mempertandingkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS). 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here